Jumaat, 21 Oktober 2016

'Tak perlu gentar, Bersatu masih kucar kacir' - Pemimpin Umno


KUALA LUMPUR - BN tidak perlu gentar dengan kehadiran parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam arena politik negara.
Ahli Parlimen BN, Datuk Noraini Ahmad berkata, Bersatu masih berada di dalam keadaan kucar kacir dalam mencari keahlian di seluruh negara.
"Bersatu masih sibuk cari ahli, lebih-lebih lagi ahli daripada parti lain. Mereka bukan ancaman besar kepada BN.
"Saya lihat Bersatu ditubuhkan dari perasaan dendam dan marah seseorang individu ke atas seseorang individu yang lain di dalam Umno.
"Saya harap mereka yang berbuat demikian fikirkan terlebih dahulu sebelum ambil tindakan," katanya.
Baru-baru ini, bekas Senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor kini dilaporkan menyertai Bersatu yang diterajui bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ezam dilaporkan telah mengadakan pertemuan dengan Mahathir dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menyerahkan borang keahlian parti.
Sebelum itu, Bersatu turut menerima penyertaan bekas Adun Kupang, Datuk Ismail Abu Bakar setelah beliau mengumum keluar daripada Umno.
Pengisytiharan itu dibuat pada Majlis Pelancaran Parti Bersatu Bahagian Baling di Kampung Seberang Pekan di hadapan lebih 600 hadirin yang hadir.
Ismail Abu Bakar yang merupakan bekas Adun Kupang berkata, perjuangan Umno yang semakin tersasar menjadi penyebab utama keputusan itu dibuat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA