Ahad, 23 Oktober 2016

Syarikat taja Bersih akan disenaraihitam, kata Rahman Dahlan

Masa berlembut sudah berakhir dan syarikat yang membantu gerakan menggugat keselamatan ekonomi negara akan dipulau, kata Rahman Dahlan.
rahman-dahlan-bersih
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang didapati menaja perhimpunan haram Bersih, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata demikian susulan artikel yang ditulis Awang Selamat di akhbar Umno, Utusan Mingguan hari ini yang menyarankan syarikat menaja Bersih disenaraihitamkan kerana ia bertujuan untuk menggulingkan kerajaan.
“Saya ambil maklum dengan saranan Awang Selamat kerana syarikat yang menaja perhimpunan haram Bersih turut mendapat kontrak daripada kerajaan,” katanya menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini.
Menurut beliau, masa untuk berlembut dan bertoleransi sudah berakhir dan syarikat yang membantu gerakan menggugat keselamatan ekonomi negara akan dipulau.
“Saya akan minta Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) untuk melihat semua latar belakang syarikat yang memohon kontrak kerajaan melalui mereka. Syarikat yang jelas menyokong perhimpunan haram akan disenaraihitamkan serta-merta,” kata beliau.

Beliau yakin terdapat banyak syarikat lain yang mampu memberikan terma setanding atau lebih baik kepada kerajaan yang perlu diberi peluang.
Awang Selamat hari ini menulis, tindakan itu perlu dilakukan sebagaimana langkah diambil kerajaan negeri pembangkang ke atas pihak yang mereka label sebagai musuh.
“Akhirnya apa yang berlaku, kerajaan di sebalik kuasa yang ada, memperkasakan pihak yang salah. Keuntungan besar daripada bisnes itu digunakan untuk terus membiayai Bersih yang mahu menjatuhkan kerajaan di luar proses demokrasi ala Arab Springs,” tulis Awang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA