Sabtu, 29 Oktober 2016

Sumpah kerahsian bukan untuk lindungi salah laku pemimpin


Datuk Mahfuz OmarDatuk Mahfuz OmarAhli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia seolah-olah mengakui salah laku dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibangkitkan bekas jemaah menteri adalah benar.
Mahfuz berkata, hal ini kerana Pandikar mendakwa bekas anggota kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mungkin melanggar sumpah kerahsiaan apabila mereka menyentuh mengenai 1MDB dalam ucapan di Parlimen.
Pandikar berkata, keputusan kabinet itu belum dilaksanakan dan bahawa ia adalah maklumat rahsia kabinet.
"Jika apa yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Handzlah bekas menteri kewangan kedua, yang juga bekas jurucakap kabinet berkaitan dengan 1MDB dalam perbahasan bajet 2017 di Parlimen baru-baru ini dianggap melanggar sumpah kerahsiaan,ini bermakna Speaker Parlimen Malaysia telah mengakui kebenaran apa yang dibangkit dan didedahkan oleh mereka tentang jenayah salah laku dalam urusan pentadbiran kerajaan adalah benar tetapi ianya rahsia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz juga berkata, sumpah kerahsiaan bukan bertujuan melindungi jenayah salah laku anggota kabinet termasuk Perdana Menteri.
"Jemaah Menteri bukannya 'jemaah penyamun' yang berpakat untuk melindungi jenayah salah laku antara satu sama lain sebaliknya jemaah menteri adalah satu jemaah untuk melindungi kepentingan negara dan rakyat," tegasnya.
Menurut Mahfuz, amalan sumpah kerahsiaan dalam kalangan anggota kabinet bagi memastikan rancangan strategik sesebuah kerajaan tidak dipintas oleh pihak lain contohnya dalam rancangan keselamatan dan pertahanan negara.

"Perkara perkara yang berkaitan dengan unsur rasuah dan penyelewengan pembelian peralatan pertahanan negara serta pelaburan dalam syarikat yang tidak wujud dalam rancangan pelaburan sebenar adalah tidak termasuk dalam sumpah kerahsiaan.
"Contohnya pembayaran kepada Abbar Investment PJS Limited (Aabar BVI) yang bukan anak syarikat Petroleum Investment Company (IPIC)adalah perbuatan salah laku yang tidak boleh dirahsiakan dan rakyat berhak tahu," katanya.
1MDB sebelum ini didakwa membayar berbilion-bilion dolar kepada Aabar Investment PJS Limited (Aabar BVI) yang didapati syarikat palsu.
Syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC) dan Aabar Investments PJS telah mengesahkan Aabar BVI bukan entiti kumpulan korporat kedua-dua syarikat berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA