Ahad, 23 Oktober 2016

SUDAH SAMPAI MASANYA PAS HARUS DILUPAKAN UNTUK AGENDA PERUBAHAN

Berdasarkan lenggok gaya Pas kebelakangan ini, khususnya kenyataan Mursyidul Am, Hashim Jasin yang menolak sebarang bentuk bekerjasama untuk menjatuhkan Najib Razak serta ketegasan enggan menyertai Bersih 5 sebagaimana yang dinyatakan oleh Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hasan, parti itu sebenarnya sudah boleh dilupakan terus oleh rakan-rakan pembangkang yang lain.

Jika bekerjasama menjatuhkan kerajaan tidak mahu, berpakat menyingkirkan Perdana Menteri yang sarat dengan skandal kewangan tidak mahu dan  bersama menyertai gerakan untuk menuntut pilihanraya yang bersih serta adil juga tidak mahu, maka "terang lagi bersuluhlah" untuk difahami isi hati perjuangan pemimpin-pemimpin Pas ketika ini.

Pas mulai sekarang harus dilabelkan sebagai rakan kongsi dan salah satu pendokong UMNO dan Najib Razak serta kedudukan mereka tidak ubah seperti parti-parti komponen BN yang lain. 

Meskipun tidak bersama sebagai komponen BN, mesti diberitahu kepada rakyat dan pengundi bahawa melalui tindak-tanduk Pas  adalah sama sebagai pelampung penyelamat kepada Najib dan UMNO.

Dalam politik, apatah lagi apabila berdepan dengan kemungkaran pemimpin yang sangat jelas dan nyata, pilihan yang ada hanyalah sama ada menyokong atau menolaknya. Tidak ada jalan tengah atau berkecuali, lebih-lebih lagi bagi pari yang mengaku memperjuangkan Islam, selalu berjubah, berkopiah dan berserban.

Pas yang selama ini selalu bercakap soal dosa dan pahala, syurga dan neraka, kini nampaknya lebih sanggup membutakan mata terhadap pemimpin dan kerajaan yang diperkatakan di seluruh dunia telah mencuri duit rakyat, keluarganya kembung dengan kemewahan serta pembaziran yang nyata dan hanya menjadilan label-label Islam sebagai kosmetik untuk mengabui rakyat.

Apakah tidak cukup dengan Peguam Negara dipecat, timbalan perdana menteri dan menteri-menteri dibuang, Laporan Audit diOSAkan serta beberapa perkara yang lain yang berlaku di depan mata untuk Pas dan para pemimpinnya memahami bahawa memang ada kedurjaan telah berlaku dalam negara kita ini?

Begitu juga dengan dua buah bank ditutup di Singapura dan pendakwaan sedang berjalan di Amerika dan Switzerland, tetapi di negara sendiri semua yang terkait disucikan, apakah terlalu sukar untuk Pas memahami bahawa segala-galanya sedang dilindungi dan kebenaran telah dikebumi?

Kiranya perkara semudah ini pun Pas tidak dapat memahaminya dan masih mahu berdolak-dalik lagi seolah-olah pemimpin seperti Najib adalah nakhoda yang bakal memimpin ke syurga, hanya ucapan "selamat tinggal Romeo" yang paling sesuai ditujukan kepada mereka.

Nampaknya juga saranan Tun Mahathir tentang perlunya semua parti-parti pembangkang bersatu hati demi sama-sama menyelamatkan negara dan keengganan berbuat demikian hanya menunjukkan keinginan memberi kelebihan kepada Najib yang telah menukar Malaysia kepada negara kleptokrasi, langsung tidak berbekas di hati dan sanubari para pemimpin Pas.

Oleh itu, adalah tidak praktikal lagi dan hanya membuang jika PPBM dan Pakatan Harapan terus menaruh harapan kepada Pas untuk saling berganding bahu dalam pilihanraya akan datang. Lupakanlah Pas mulai sekarang untuk agenda perubahan. Bagi Pas, bahu Najib lebih indah untuk disandari.

Usaha mesti digembleng mulai sekarang untuk bergerak tanpa Pas bersama. PPBM bersama Pakatan Harapan yang dianggotai PKR, DAP dan Amanah serta Warisan di Sabah, sebenarnya sudah cukup kuat untuk menggerak dan memenuhi aspirasi rakyat ke arah perubahan yang dinanti-nantikan.

Lagi pula, dengan adanya pengaruh Tun Mahathir dengan Anwar Ibrahim bersama-sama dan saling berganding bahu ketika ini, apakah ia masih belum memadai?

Yang penting, jangan lagi berlengah dan mulakan usaha daripada sekarang. Tinggalkan terus Pas dan gambarkan bahawa mereka adalah rakan kongsi dan pelampung kepada sebuah kerajaan yang kleptokrasi.

Jika Pas "tahu malu dan sedar diri", parti itu juga bolehlah  melangkah keluar daripada Kerajaan Negeri Selangor yang dipimpin oleh Pakatan Harapan dengan secepat mungkin kerana Azmin Ali dan semua pemimpin Pakatan Harapan di negeri itu adalah terang-terang merupakan sebahagian daripada gerakan untuk menyingkirkan Najib dan menjatuhkan UMNO serta BN.

Dalam hal ini, dipersilakanlah Hashim Jasin, Musyidul Am Pas yang baru dilantik agar segera mengeluarkan fatwa "mufarakah" parti itu dengan segala elemen yang yang ada kaitan dengan gerakan untuk menjatuhkan Najib.

Para pemimpin Pas pula, segeralah nyatakan pendirian, bukan setakat senada dengan UMNO mengecam Ahli-Ahli Parlimen yang keluar dewan ketika Najib membentangkan belanjawan Jumaat lalu, bahkan lebih afdal jika disertai dengan puji-pujian dan  sanjungan melangit terhadap isi kandungan "bajet kosong" tersebut

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA