Jumaat, 28 Oktober 2016

SPRM siasat kerugian aneh anak syarikat Yayasan Sabah


TAWAU, 28 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Audit Negara digesa untuk menyiasat dakwaan kerugian RM81 juta yang dialami anak syarikat Yayasan Sabah, Rakyat Berjaya Sdn. Bhd. (RBJ) yang diberi amanah menguruskan kawasan konsesi perhutanan negeri itu.
Gesaan tersebut dibuat Setiausaha DAP Sabah Chan Foong Hin itu berdasarkan rekod yang diperolehi dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang membuktikan bahawa RBJ telah gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai anak syarikat Yayasan Sabah.
chanfhAkibat kerugian besar itu, Yayasan Sabah didakwa sekali lagi menawarkan Mutual Separation Scheme (MSS) kepada kakitangan RBJ dalam penghujung tahun ini.
“Yayasan Sabah telah gagal dalam peranannya dalam mengurusi hutan secara mapan yang seharusnya dapat mengekalkan sumber kayu yang berterusan tanpa membelakangi aspek-aspek alam sekitar dan sosial,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Adun Sri Tanjung itu juga mempersoalkan ketelusan RBJ memandangkan sebagai ‘tuan tanah’ syarikat tersebut tidak sepatutnya rugi sedangkan kontraktor-kontraktor yang mendapat projek dari RBJ boleh mengaut keuntungan.
Justeru alasan yang diberikan anak syarikat Yayasan Sabah bahawa kekurangan sumber kayu menjadi punca kerugian adalah tidak munasabah.
“Bagaimana RBJ sebagai pengurus kawasan konsesi perhutanan boleh rugi? Adakah RBJ dan Yayasan Sabah diterajui oleh pengurusan yang tidak cekap? Apakah wujud kepincangan pengurusan RBJ dan Yayasan Sabah? Rakyat berhak mengetahui keadaan sebenarnya!” tegas Chan.
Tambahan pula, dua insiden kematian gajah di kawasan konsesi perhutanan RBJ sejak kebelakangan ini seolah-oleh membuktikan bahawa syarikat itu kurang mahir dalam selok belok pengurusan hutan khususnya semasa operasi pembalakan dan perladangan.
Dalam perkara berkaitan, beliau turut mempersoalkan satu lagi anak syarikat Yayasan Sabah iaitu Benta Wawasan Sdn. Bhd. Yang ditubuhkan bagi memulihkan kedudukan dan ekonomi dan kewangan negeri itu dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap hutan.
“Ia telah digunakan untuk menukar bentuk operasi hampir separuh daripada kawasan konsesi Yayasan Sabah daripada perhutanan dan pembalakan kepada perladangan ITP termasuklah kelapa sawit.

“Selepas 20 tahun penubuhannya dan sebahagian besar kawasan Konsesi Yayasan Sabah ditukarkan kepada perladangan kelapa sawit, adakah Benta Wawasan berjaya dalam melaksanakan fungsinya sebagai penjana kewangan dan ekonomi Yayasan Sabah?” soalnya lagi.
Persoalan itu semakin ketara apabila Benta Wawasan hanya memperoleh RM13 juta pendapatan berbanding kerugian dialami RBJ yang mencecah RM81 juta.
“Mungkin tahun 2016, hanya RBJ yang menawarkan MSS tapi tahun-tahun berikutnya pasti banyak lagi anak-anak syarikat yang lingkup dan lama kelamaan Yayasan Sabah yang dahulunya antara agensi pemangkin ekonomi Negeri Sabah akan lenyap jika tidak dengan baik.
“Persoalannya, apakah langkah-langkah atau rancangan-rancangan jangka pendek dan panjang pihak Yayasan Sabah untuk mengatasi masalah ini?
“SPRM sudah menjalankan tugas dengan begitu baik dalam isu rasuah Jabatan Air Negeri Sabah. Sampailah masa untuk meluaskan skop penyiasatan agensi-agensi negeri dan juga syarikat-syarikat GLC negeri,” gesa Chan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA