Isnin, 31 Oktober 2016

Speaker mesti benarkan sidang khas Parlimen bincang isu 1MDB

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mempunyai tanggungjawab memelihara integriti institusi perundangan dengan membenarkan usul pembangkang untuk satu sidang khas Parlimen membincangkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional, Faiz Fadzil berkata demikian ketika mengulas sikap Pandikar yang menyelar tiga bekas menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Husni Hanadzlah kerana menyentuh isu tersebut dalam perbahasan Bajet 2017 baru-baru ini kononnya melanggar sumpah kerahsiaan.
“Skandal 1MDB bukan isu kecil kerana melibatkan kecurian wang negara. Malahan, kedaulatan negara turut tergadai dengan penjualan aset 1MDB termasuk syarikat janakuasa elektrik Edra (Edra Global Energy Bhd) dan tanah-tanah di Bandar Malaysia dijual kepada kuasa asing China,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Pandikar harus lebih peka terhadap isu 1MDB yang menjadi subjek siasatan pihak berkuasa negara luar termasuk Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan Singapura yang menunjukkan betapa seriusnya kesalahan jenayah dalam skandal tersebut.
“Fakta-fakta yang dibentangkan oleh bekas Menteri kabinet terbabit tidak pernah dinafikan Perdana Menteri dan pengurusan 1MDB sedangkan segala fakta seperti kemasukan wang 1MDB ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri sebanyak RM2.6 bilion adalah kesalahan jenayah pecah amanah.
“Begitu juga wang SRC International sebanyak RM42 juta serta bayaran RM16 bilion oleh 1MDB kepada syarikat Aarba Investment PJS Limited adalah kesalahan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyelewengan wang negara,” tegasnya.
Mengulas tindakan polis yang sudah membuka kertas siasatan dan akan mengambil keterangan ketiga-tiga bekas menteri Kabinet terbabit mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana didakwa mendedahkan rahsia kerajaan, beliau menyifatkan pendedah rahsia tidak melanggar sumpah sebaliknya pelaku salah 1MDB yang berbuat demikian.
“Perdana Menteri sebenarnya yang melanggar sumpah jawatan Perdana Menteri untuk mentadbir negara dengan jujur. Pelbagai jawapan bercanggah dan tidak berasas diberikan Perdana Menteri berkaitan isu-isu yang timbul dalam skandal 1MDB termasuk derma RM2.6 bilion oleh Putera Arab, sedangkan bukti menunjukkan wang tersebut berasal daripada 1MDB.
“Salah laku sebegini oleh Perdana Menteri tidak harus dibiar dan disembunyikan. Kesalahan jenayah dan pengkhianatan terhadap rakyat dan negara tidak patut dilindungi kelubung manipulasi undang-undang.

“Keluhuran undang-undang hanya tertegak jika dilaksanakan terhadap pelaku salah dan bukannya pendedah kebenaran walaupun ianya dianggap rahsia. Akta Rahsia Rasmi hanya terpakai untuk melindungi rahsia kerajaan dalam perkara keselamatan negara dan bukannya rahsia pelaku salah,” tegas Faiz yang juga merupakan peguam.
Tan Sri Pandikar Amin Mulia Tan Sri Pandikar Amin Mulia Sehubungan itu, beliau mendesak supaya semua pihak tidak menyalahkan pihak yang mendedahkan kebenaran atas alasan melanggar sumpah dilafazkan ketika menjawat jawatan menteri dalam kerajaan sebaliknya fokus kepada tekanan dan tuntutan ke atas Perdana Menteri.
“Tindakan dan tekanan seharusnya dipertingkatkan ke atas Perdana Menteri dan bukannya terhadap mereka yang berani mendedahkan kebenaran,” ujar Faiz lagi.
Untuk rekod, Pandikar pada 17 Oktober lalu dilaporkan berkata, menteri tidak perlu menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat berhubung saman Jabatan Kehakiman (DoJ) AS bagi menyita aset didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB kerana mendakwa kes itu adalah ‘sub judice’ memandangkan masih dibicarakan di mahkamah AS.
Terdahulu, Pandikar pada 7 April lalu menyatakan Ahli Parlimen boleh mengutarakan isu berbangkit mengenai laporan akhir Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan 1MDB pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Menjawab soalan pemberita, beliau juga berkata, satu persidangan khas untuk membahaskan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB yang dibentangkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di Dewan Rakyat, 7 April lalu itu tidak perlu diadakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA