Khamis, 20 Oktober 2016

Speaker kata tidak pada debat DoJ

Tan Sri Pandikar Amin bertegas tuntutan DoJ berkaitan 1MDB tidak boleh dibahaskan di Dewan Rakyat meskipun wujudnya perbezaan pendapat berhubung keputusannya itu.
Pandikar-AminKUALA LUMPUR: Speaker Dewan Rakyat terus bertegas yang perbahasan mengenai tuntutan saman Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat terhadap 1MDB mungkin sub judice kerana mahkamah di sana boleh memetik hansard Parlimen.
Tan Sri Pandikar Amin memetik Peraturan Tetap 36(2) menyatakan kes yang sedang dibicarakan di mahkamah tidak boleh disebut jika speaker yakin ia boleh menjejaskan kepentingan pihak dalam perbicaraan.
“Jika saya benarkan kes ini dibahaskan di dalam Dewan, menteri akan jawab dan ia akan diberi liputan meluas,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen, hari ini menambah beliau tidak faham mengapa wakil rakyat Malaysia mahu membahaskan perkara itu di sini.
Pandikar berkata mereka yang mengendalikan kes itu di AS boleh membaca apa yang diucapkan di Dewan dan akhirnya mempengaruhi pendirian mereka terhadap kes itu kerana mahkamah AS mungkin memetik apa yang dibangkitkan di Parlimen.
Katanya, meskipun menerima pelbagai pendapat yang berbeza, sebagai speaker beliau yang membuat keputusan akhir.
“Pendapat anda ialah pendapat anda, pendapat saya ialah pendapat saya. Tetapi saya ialah speaker, saya ada bidang kuasa.
“Ini sebenarnya semua tentang politik, tetapi itu bukan masalah saya. Saya tidak mahu terbabit dalam hal politik kerana saya speaker,” katanya.
Pandikar pada Isnin memutuskan wakil rakyat tidak akan dibenar membahaskan tuntutan saman DoJ yang memohon untuk menyita aset berkaitan 1MDB, kerana ia mungkin sub judice.
Keputusan itu menyebabkan Ahli Parlimen Puchong Gobind Singh Deo memfailkan susul untuk menyemak semula keputusan di bawah Perintah Tetap 43.
Tuntutan saman DoJ mendakwa lebih AS$3.5 bilion (RM14.78 bilion) diselewengkan daripada 1MDB dan DoJ memohon untuk menyita aset dibeli daripada wang itu dan menjejaki konspirasi antarabangsa membabitkan pengubahan wang haram.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA