Khamis, 20 Oktober 2016

Skandal Mara: Mahkamah tolak saman fitnah Khairul Azwan terhadap Rafizi

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman fitnah Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun terhadap Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli.
Saman fitnah tersebut adalah berkenaan dakwaan Rafizi mengenai kemungkinan penyelewengan dana melibatkan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Hakim S Nanthabalan berkata, Rafizi tidak menunjukkan sebarang niat jahat kerana dakwaan itu dibuat berdasarkan kajian sendiri.
"Perkara ini wajar jika disiasat dan diberi perhatian kerana ia melibatkan kepentingan awam," kata hakim.
Peguam Rafizi, William Leong memberitahu Malaysiakini mengenai keputusan berkenaan.
Kedua-dua pihak akan berbincang mengenai kos tidak lama lagi, kata Leong.
Pada Julai tahun lalu, Khairul Azwan memfailkan saman terhadap Rafizi kerana didakwa memfitnahnya dalam isu melibatkan transaksi hartanah MARA bernilai RM63 juta.
Tindakan undang-undang tersebut dibuat selepas ahli Parlimen Pandan itu gagal memohon maaf dan menarik balik kenyataannya.
“Saya membuat keputusan ini atas dasar menegakkan kebenaran dan mempertahankan maruah institusi pergerakan Pemuda Umno Malaysia serta jawatan yang telah diamanahkan kepada saya.
"Saya ingin menegaskan bahawa dakwaan (Rafizi itu) adalah tidak betul serta berniat jahat kepada saya dan Pemuda Umno," kata Khairul Azwan.
Rafizi sebelum itu mendakwa lima pemimpin Pemuda Umno terbabit dalam tiga pembelian harta tanah di Australia yang belum didedahkan, iaitu 746 Swanston Street, 333 Exhibition Street dan 51 Queen Street.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA