Sabtu, 29 Oktober 2016

Skandal 1MDB: Polis mulakan siasatan terhadap 3 bekas menteri Umno....Najib...???

Kenyataan akan diambil daripada Muhyiddin, Shafie dan Husni berhubung kenyataan mereka di Dewan Rakyat mengenai 1MDB.
MuhyiddinPETALING JAYA: Polis akan mengambil kenyataan daripada 3 bekas menteri Kabinet esok atau Isnin berhubung dakwaan mendedahkan maklumat sulit kerajaan mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Mereka ialah bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas menteri pembangunan wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.
Mereka membuat kenyataan kritikal mengenai 1MDB di Dewan Rakyat, yang kemudiannya ditegur speaker sebagai berkemungkinan melanggar sumpah kerahsiaan.
Laporan polis juga dibuat 2 kumpulan, Jaringan Melayu Malaysia dan Sahabat N87 cawangan Wilayah Persekutuan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata: “Kami membuka kertas siasatan dan akan menghubungi mereka untuk disoal secepat mungkin. Mudah-mudahan esok atau lusa,” lapor New Straits Times.
Khalid dipetik sebagai berkata: “Saya ingin mengingatkan kakitangan kerajaan, sama ada mereka yang masih bekerja atau meninggalkan perkhidmatan, berhati-hati dan bertanggungjawab apabila membuat kenyataan kerana jika mereka mendedahkan rahsia kerajaan, tindakan akan diambil terhadap mereka).
“Apabila ia melibatkan rahsia kerajaan, kita perlu berhati-hati kerana terdapat banyak implikasi kerana apabila rahsia kerajaan dinyatakan, ia boleh mengancam keselamatan negara dan ekonomi.”
Muhyiddin dikatakan mendedahkan maklumat sulit mengenai 1MDB, firma pelaburan negara, ketika berucap pada perbahasan Bajet 2017 di Dewan Rakyat.
Menurut laporan itu, maklumat itu diperoleh ketika beliau masih memegang jawatan sebagai timbalan perdana menteri.
Muhyiddin digugurkan daripada Kabinet pada Julai tahun lalu selepas mengkritik pengendalian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap 1MDB, dan dibuang daripada Umno awal tahun ini.
Beliau kini menjadi presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Menurut laporan itu, Shafie juga mempersoalkan beberapa keputusan kerajaan mengenai 1MDB, manakala Husni berkata negara ini masih boleh menghadapi kesan ekonomi jika isu 1MDB tidak dikendalikan dengan betul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA