Isnin, 31 Oktober 2016

Skandal 1MDB: Najib didakwa cuba sembunyikan kesalahan

Kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membangkitkan isu 1MDB dalam Bajet 2017 didakwa sebagai cubaan menyembunyikan kesalahan pihak yang bersalah, termasuk dirinya.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP, Tony Pua berkata, situasi itu berbeza dalam pembentangan Bajet 2013 apabila Najib dengan gembira menceritakan mengenai projek 1MDB dan pencapaiannya.
“Jika ia (1MDB) adalah relevan ketika itu, mengapa tiba-tiba ia tidak relevan hari ini?,” soalnya dalam satu kenyataan, kelmarin.
Beliau turut mempersoalkan pendirian Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dalam isu 1MDB yang begitu berbeza sebelum pelantikannya sebagai menteri.
“Amat mengagumkan bagaimana ahli parlimen Umno bercakap ketika beliau berada di dalam dan di luar Kabinet. Johari sebelum dilantik ke Kabinet Julai tahun lalu, adalah salah seorang ahli parlimen Umno yang sering bertanya soalan berkaitan RM50 bilion dalam isu 1MDB.
“Setelah dilantik Menteri Kewangan Kedua, beliau beritahu rakyat Malaysia bahawa 1MDB tiada kaitan dengan bajet Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Menurut beliau, 1MDB sememangnya ada kena mengena dengan bajet kerana peruntukan Kerajaan Persekutuan digunakan untuk menyelamatkan syarikat pelaburan itu.
“Jika 1MDB gagal bayar pinjaman dan tanggungjawabnya, maka Kementerian Kewangan perlu membayar. RM32 bilion meningkatkan defisit disasarkan pada tiga peratus daripada KDNK menjadi 5.4 peratus,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA