Isnin, 31 Oktober 2016

Skandal 1MDB: Kalau Husni disiasat, siasat sekali seluruh Kabinet, kata PAS

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata polis tidak perlu membazirkan tenaga dan masanya untuk menemu ramah Husni yang dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
tuan-man-husni
PETALING JAYA: PAS berkata seluruh Kabinet perlu disoal siasat berhubung skandal 1MDB, jika bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah akan disiasat kerana membangkitkan isu itu di Dewan Rakyat, baru-baru ini.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keseluruhan Kabinet perlu disiasat adakah mereka sengaja mengelirukan orang awam mengenai 1MDB.
Katanya, polis tidak perlu membazirkan tenaga dan masanya untuk menemu ramah Husni yang dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
“Polis perlu terus menyiasat kes 1MDB yang sudah tertangguh lama. Malah, pada 20 Oktober lalu Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar berkata polis masih pada tahap mengesan saksi bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim berkata soalan Husni sebenarnya perlu dijawab polis dan peguam negara dan bukan membawanya untuk disoal siasat.
Minggu lalu, Husni di Dewan Rakyat mempersoalkan motif kerajaan menubuhkan 1MDB yang didakwanya menyaksikan banyak penggelapan berlaku tanpa dikenakan tindakan.
Husni yang juga ahli Parlimen Tambun mempertikaikan wang AS$4 bilion (RM16.69 bilion) dilaporkan dalam Aabar Investment PJS Ltd, yang tidak dimiliki IPIC.
IPIC dan anak syarikat Aabar Investments PJS dalam satu kenyataan bersama pada April berkata syarikat Kepulauan Virgin British itu yang mempunyai nama hampir sama, Aabar Investments PJS Ltd, “bukan entiti dalam kumpulan mereka”.
Husni turut menuntut penjelasan tentang unit pelaburan bernilai AS$1 bilion (RM4.17 bilion), yang sepatutnya matang tahun lepas.
Husni yang meletakkan semua jawatan dalam Umno dan BN tahun ini turut mempertikaikan alasan di sebalik keputusan Kumpulan Wang Persaraan meminjamkan RM4 bilion secara sekali gus kepada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA