Jumaat, 21 Oktober 2016

Sikap suka bergantung punca Melayu lemah


Penentangan Melayu terhadap Malayan Union pada 1947 melahirkan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Januari 1948.Penentangan Melayu terhadap Malayan Union pada 1947 melahirkan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Januari 1948.
Pemimpin Melayu sendiri menjadi punca kepada kelemahan orang Melayu dengan mencipta budaya pergantungan, kata Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Mohd Nasir Hashim.
Bercakap dalam diskusi sejarah Hartal 20 Oktober di ibu negara malam tadi, beliau berkata, dasar pecah dan perintah yang dilakukan kolonial Inggeris masih terus berlaku.
"Yang ada orang kita sendiri jadi penjajah. Dia pergunakan kaum dan agama demi kepentingan diri. Pecah dan perintah.
"Buat sesuatu demi keuntungan. Apa yang berlaku dulu, sekarang masih berlaku bahkan lebih sofistikated. Kita juga dapat lihat budaya ketakutan masih menjalar," bidasnya.
Menurut beliau, eksploitasi yang masih wujud itu menyebabkan orang miskin menjadi bertambah miskin manakala segelintir kaya semakin kaya.
"Tiada perubahan. Ada sesuatu yang tidak kena dengan kepimpinan apabila polisi ekonomi bagi Bumiputera tidak banyak membantu," ujarnya.
Dr Nasir berkata, keadaan pada masa ini diburukkan lagi dengan polisi ekonomi neo-liberal melalui penswastaan dan  pensyarikatan.
"GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan) sepatutnya wujud untuk membantu rakyat miskin tapi sekarang GLC buat projek untuk yang kaya bukan bagi rakyat miskin lagi," tegasnya.
Dr Nasir Hashim melontarkan pandangan dalam wacana anjuran Radical UnionDr Nasir Hashim melontarkan pandangan dalam wacana anjuran Radical Union
Inspirasi
Mengulas tentang kejayaan Hartal di seluruh Malaya pada 1947, beliau berkata, tindakan boikot bekerja dan tidak menjalani urusan seharian bagi membantah Perlembagaan Persekutuan yang dikemukakan oleh penjajah Inggeris itu  memberi inspirasi bahawa rakyat boleh bersatu.
"Memang sungguh luar biasa pencapaiannya. Hartal ini satu perjuangan menentang penjajahan dan menuntut kemerdekaan dalam erti kata sebenar.
"Putera-AMCJA (Pusat Tenaga Rakyat - All Malayan Council of Joint Action) dapat menyatukan masyarakat berbilang kaum ketika itu sebelum dipecahkan propaganda kolonial.
"Perpaduan masyarakat pada 69 tahun lepas membolehkan mereka ada Perlembagaan Rakyat yang jika diamalkan sejak dulu, kita hari ini tidak lagi berdepan isu sempit kaum dan agama," jelasnya.
Walaupun hartal itu berjaya sehingga menyebabkan penjajah menanggung banyak kerugian tetapi mereka enggan keluar dari negara ini.
"Mengikut rekod, British rugi  4 bilion pound ketika itu. Itu tahun 1947. Kalau sekarang banyak lagi tetapi kolonial tidak mahu berundur kerana Malaya ini memang sumber kekuatan ekonominya daripada getah dan bijih timah juga kawasan strategik untuk pertahanan.
"Dia jual negara kita. Kita dapat lihat mereka masih guna 'divide and rule' (pecah dan perintah). Kita ini membiayai kemajuan di negara penjajah dengan hasil getah dan bijih timah.

"Mereka kawal logistik, pentadbiran  dan juga jadi penasihat. Sistem pengangkutan diatur untuk punggah harta negara kita bawa ke negara mereka," jelasnya.
Walau bagaimanapun, tindakan Inggeris mengumumkan darurat pada 1948 dengan memainkan isu komunis menyekat tuntutan sebenar rakyat ketika itu untuk tidak berada di bawah telunjuk kolonial.
"Penjajah penjarakan golongan kiri, dibuat pelbagai sekatan. Kita dapat lihat mereka menggunakan komunis sebagai propaganda untuk menafikan perjuangan menuntut kemerdekaan sebenar," jelasnya.
Dr Hashim yang juga bekas Adun Kota Damansara itu berpendapat, hanya dengan perubahan sistem secara menyeluruh dapat memastikan keadilan sosial dapat dicapai.
"Sebenarnya kita kena overhaul (baik pulih) sistem tapi kita tidak buat. Kita memanjangkan lagi kolonialisme dalam bentuk lain," tegasnya lagi.
Terdahulu, filem dokumentari "Sepuluh Tahun Sebelum Merdeka" dengan penampilan lima tokoh pemimpin termasuk dari Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) ditayangkan.
Hari Hartal yang berlangsung pada 20 Oktober 1947 berjaya menyatupadukan rakyat berbilang kaum menentang pendudukan British di Malaya.Hari Hartal yang berlangsung pada 20 Oktober 1947 berjaya menyatupadukan rakyat berbilang kaum menentang pendudukan British di Malaya.
Filem yang pernah memenangi anugerah dalam Freedom Film Festival 2007 itu kini boleh dilayari di laman perkongsian video, Youtube.
Turut menjadi ahli panel dalam program anjuran kumpulan Radical Union itu ialah pengasas Gerakbudaya, Chong Tok Sin atau lebih dikenali sebagai Pak Chong serta budayawan, Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA