Selasa, 25 Oktober 2016

Setiausaha Sarawak dilantik jadi ahli lembaga pengarah Petronas

Morshidi berkata, tanggungjawabnya ialah membawa balik sebarang perkara yang memerlukan perbincangan lanjut kepada kerajaan negeri Sarawak.
Mohamad-Morshidi-Abdul-Ghani
PETALING JAYA: Setiausaha kerajaan negeri Sarawak, Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani dilantik untuk menganggotai Lembaga Pengarah Petronas.
Morshidi yang dipetik Borneo Post Online hari ini berkata, beliau sudah menerima surat pelantikan dan akan mewakili Sarawak dalam lembaga pengarah syarikat minyak negara itu yang kini mempunyai 15 anggota.
“Sebagai ahli lembaga mewakili Sarawak, tugas saya ialah membawa balik apa-apa yang memerlukan perbincangan lanjut kepada kerajaan negeri.”
Pelantikan seorang rakyat Sarawak ke Lembaga Pengarah Petronas, satu daripada 7 perkara yang dipersetujui antara Putrajaya, Petronas dan kerajaan negeri Sarawak, Ogos lalu.
Perjanjian 7 perkara itu dibuat, susulan rasa tidak puas hati Sarawak terhadap tindakan Petronas kurang memberi keutamaan kepada penduduk tempatan dalam operasi syarikat di negeri terbabit.
Ini seterusnya membawa kepada pembekuan permit kerja kakitangan Petronas dari Semenanjung Malaysia.
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem kemudiannya mencapai persetujuan 7 perkara yang antara lain menyaksikan seorang wakil negeri itu akan dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Petronas.

Perkara lain termasuk anak tempatan akan mengisi 192 kekosongan dalam operasi Petronas di Sarawak, 50 tempat untuk rakyat Sarawak melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Petronas, memperhebatkan latihan teknikal bagi anak tempatan di pusat latihan Petronas dan Petronas menyokong industri petrokimia di negeri itu.
Turut termasuk dalam perjanjian itu ialah Putrajaya dan Petronas mempertimbangkan penyertaan Sarawak dalam Kontrak Bagi Hasil (PSC) dan Petronas akan meningkatkan bilangan anak tempatan di peringkat pengurusan daripada 33% kepada 60%.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA