Khamis, 20 Oktober 2016

SETELAH UCAPAN GST DIPUTAR-BELIT DAN AKTA 355 MUNGKIN TANGGUH LAGI, MASIHKAH PAS MAHU PERCAYA UMNO?

Apa sudah jadi dengan usul Akta 355 untuk bacaan kali kedua yang sepatutnya dibentangkan oleh Hadi Awang?

Esok, 21 Oktober adalah hari pembentangan Bajet 2017 oleh Najib Razak dan minggu-minggu seterusnya perbahasan di Parlimen akan dipenuhi dengan hal-hal  berkaitan dengan belanjawan saja.

Jika hari ini iaitu hari terakhir sebelum Bajet 2017 dibentangkan, usul Hadi Awang itu tidak juga diberi ruang oleh Speaker, kemungkinan ia tidak sempat langsung dibawa untuk sessi Parlimen tahun ini dan seterusnya dianjak lagi ke tahun hadapan.

Yang menariknya, pada hari pertama sessi Parlimen Isnin lalu, usul Hadi itu disenaraikan dalam aturan mesyuarat nombor empat, tetapi sehingga ke petang ia tidak juga dibentangkan.

Kemudian pada hari Selasa, usul tersebut menurun ke tempat ketujuh dan tidak juga dibentangkan. Semalam, hari Rabu, langsung tiada khabar berita mengenainya.

Kalau ikut logik, jika hari pertama sudah masuk agenda nombor empat,  usul tersebut sepatutnya diletakkan sebagai agenda nombor dua atau tiga pada hari berikutnya. Ia tidak seharusnya menurun kepada tempat nombor tujuh.

Hanya tinggal hari ini iaitu Khamis untuk peluang usul tersebut dibentangkan. Jika hingga petang nanti tiada juga usul Hadi itu, nasibnya semakin sukar diramalkan. 

Seharusnya usul Hadi Awang ini tidak lagi ditangguhkan kerana bacaan kali pertamanya sudah dilakukan pada sessi Parlimen yang lalu. Kali ini ialah untuk bacaan kali kedua, dibahas dan seterusnya dijalankan undian.

Lagi pula, Najib Razak dan semua pemimpin UMNO bukan main lagi menyokong usul tersebut. Meskipun aturan Parlimen biasanya memberi laluan kepada usul kerajaan terlebih dahulu, tetapi jika Perdana Menteri menghendakinya, beliau boleh memberi arahan agar usul persendirian Hadi Awang itu didahulukan.

Apabila ditangguhkan begini dan seolah-olah Hadi Awang sedang dipermainkan, adakah bermakna Najib sendiri tidak mahu usul itu dibentangkan?

Sedarkah Najib bahawa Pas sudah mengadakan majlis munajat dan solat haiat pada 15 Oktober lalu untuk memohon keredaan Tuhan agar usul itu tidak mengalami banyak halangan dan seterusnya diluluskan?

Apakah Najib tidak mahu memberi laluan kerana belum bersedia menghadapi parti-parti komponen BN yang terang-terang menentang usul berkenaan?

Sampai bila ia mahu ditangguhkan lagi dan Najib akhirnya setuju memberi laluan? 

Awal tahun depan, pertengahan tahun depan, akhir tahun depan atau sehingga tibanya tarikh pilihanraya?

Walaupun usul Akta 355 itu berkaitan memberi lebih kuasa kepada Mahkamah Syariah, tetapi parti-parti komponen BN melihatnya sebagai laluan awal kepada perlaksanaan hudud. Maka, MCA, MIC dan Gerakan, termasuk komponen BN di Sabah dan Sarawak juga menentangnya.

Di sebalik parti-parti komponen itu menentang, mereka juga menyatakan BN sudah ada konsensus jika ia dibentangkan. Tapi pemimpin-pemimpin UMNO tetap mengunci mulut, malah Zahid Hamidi sendiri mengatakan sama ada dari segi pembentangan, mahu pun sokongan, ia terpulang kepada Najib menentukannya.

Tetapi sokongan Najib secara luaran kepada usul berkenaan sehingga ia dapat dibawa untuk bacaan kali pertama oleh Hadi pada sessi Parlimen yang lalu, telah berjaya mendekatkan lagi hubungan Pas dengan UMNO.

Pas dan UMNO tidak lagi bermusuhan seperti selalu. Berbanding UMNO, walaupun ketika ini Najib berhadapan dengan skandal kewangan bertaraf mega dan diperkatakan di seluruh dunia, Pas lebih keras bermusuh dengan Amanah berbanding parti itu.

Persoalannya, jika usul Hadi itu tidak juga diberi laluan, sedarkah Pas bahawa mereka sedang dipermain dan diperalatkan oleh UMNO?

Apakah tidak mungkin usul Hadi itu akan terus ditangguhkan dan hanya dijadikan modal oleh Najib untuk memberi gambaran kepada pengundi Melayu seolah-olah beliau adalah pemimpin yang mencintai hukum Islam dan lebih bertujuan merapatkan hubungan dengan Pas, sekaligus merencatkan kesepakatan parti-parti pembangkang dalam PRU 14?

Setelah ucapan Hadi Awang mengenai GST yang diputar-belit oleh media-media utama kawalan UMNO Selasa lalu dan bersama usul Akta 355 yang mungkin terus ditangguhkan ini, apakah Pas masih mahu menaruh kepercayaan lagi kepada Najib dan UMNO?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA