Jumaat, 28 Oktober 2016

Sembang Hadi-Salleh bagi perangi pelampau media.....

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berjumpa dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak Rabu lalu sebagai sebahagian daripada peranannya sebagai ‘parti pembangkang konstruktif”.
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata antara perkara yang dibincangkan adalah memerangi ‘pelampau media’.
“Subjek penting dalam pertemuan itu juga ialah saranan Hadi kepada pihak berkuasa kementerian agar dapat mewujudkan inisiatif kerjasama pemberitaan di kalangan negara serantau terutama untuk melawan pelampau media dengan pemberitaan palsu dan fitnah mereka yang berleluasa mutaakhir ini...,” kata Nasrudin dalam satu kenyataan.
Presiden PAS berkata pelampau media itu sangat bahaya dan mampu menggugat keharmonian masyarakat atau rakyat negara ini.
Katanya, ini termasuk ‘keganasan’ media dan agensi berita asing dengan pemberitaan yang direka cipta untuk melunaskan agenda tersembunyi mereka.
Bagaimanapun Nasrudin tidak menghuraikan media yang dirujuk itu mahupun mengulas lanjut mengenai kes-kes yang didakwa.
Hadi juga membincangkan peranan media sosial dan bagaimana menjadi tanggungjawab semua pihak dalam meneliti kesahihan dan kewajaran maklumat yang dimuat naik ke dunia siber.
Nasrudin berkata mesyuarat itu berlangsung di pejabat Salleh di Angkasapuri. Pada pertemuan itu, Hadi diiringi oleh setiausaha politiknya Ahmad Samsuri Mokhtar dan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.
Beliau berkata mereka membincangkan isu-isu melibatkan kepentingan negara dan rakyat.
Antara topik berkenaan, Hadi selaku Naib Ketua Kesatuan Ulama Antarabangsa menawarkan bantuan untuk membantu menyelesaikan isu penculikan di perairan Sabah yang sering berlaku.
Beliau berkata satu penyelesaian yang lebih menyeluruh dalam merungkai isu tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA