Selasa, 25 Oktober 2016

SARANAN "BIJAK" SEORANG KJ

Kontrak penganjuran Fomula 1 di Litar Sepang adalah sehingga 2018 dan ketika nasib perlumbaan itu dijangka diputuskan pada minggu depan berikutan kemerosotan jualan tiket yang mendadak sejak 2014 yang lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pantas menyarankan agar perlumbaan itu segera diberhentikan.

Saya rasa kita perlu berhenti menganjurkan perlumbaan Formula 1, sekurang-kurangnya untuk sementara waktu. Kos terlalu tinggi, pulangan terhad, kata beliau,

Tampak dengan saranan KJ itu seperti satu lagi legasi Tun Mahathir Mohamad bakal dilenyapkan.
Dua minggu lalu, Mokhzani Mahathir diminta meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Litar Sepang, kini perlumbaan Formula 1 di negara ini yang merupakan cetusan idea Tun Mahathir pula mahu dimangsakan.

Saranan KJ mahu menghentikan perlumbaan Formula 1 pula hanya menyusul beberapa hari setelah Najib mengumumkan "kematian"  visi Wawasan 2020 untuk digantikan dengan impian Transformasi Nasional 2050 atau TN50 sebagaimana yang diumumkannya  dalam pembentangan Bajet 2017.

Dari segi pertimbangan kos dan bagi  menjimatkan perbelanjaan wang negara di ketika suasana ekonomi sedang suram, saranan KJ itu tidaklah  sukar untuk difahami. Ada logik dan rasionalnya.

Tidak dinafikan kos penganjuran perlumbaan Formula 1 adalah tinggi, malah pelaburan membina litarnya saja berjumlah ratusan juta ringgit. Tetapi Tun Mahathir membawa perlumbaan itu ke Malaysia dengan tujuan agar negara kita lebih dikenali di seluruh dunia.

Perlumbaan Formula 1 dipancarkan secara langsung ke banyak negara di seluruh dunia dan  peminatnya juga berjuta jumlahnya. Maka, secara langsung nama Malaysia lebih dikenali dan meniti di bibir antarabangsa melaluinya.

Diambil daripada semua itu, nilai kos berbanding manfaat yang diperolehi negara daripada perlumbaan tersebut jauh lebih berganda. Itu belum dikira lagi berkembangnya minat dan pertumbuhan lain di sebalik penganjuran perlumbaan paling berprestij itu. 

Begitulah cara Tun Mahathir berfikir untuk memajukan negara serta untuk merangsang minat rakyat terhadap sesuatu perkara.

Harus diakui, sejak Najib memimpin negara, perlumbaan Formula 1 sebenarnya tidak diperlukan lagi unfuk mempromosi negara ini. Isu 1MDB saja jauh lebih lumayan nilai promosinya untuk Malaysia, malah ia percuma lagi.

Sukar untuk mencari ada syarikat milik kerajaan yang hebat seperti 1MDB sehingga mampu menyebabkan dua buah bank ditutup di negara lain dan beberapa negara lain melakukan penyiasatan serta pendakwaan. Jika perbicaraan DOJ di Amerika bermula nanti, pasti lebih banyak lagi promosi percuma untuk Malaysia.

Untuk itu, sebarang bentuk promosi yang perlu mengeluarkan belanja seperti penganjuran Formula 1 adalah suatu pembaziran.  Tentu KJ sudah dapat melihat bahawa selain kos, terus mengadakan perlumbaan Formula 1 juga tidak lagi bermanfaat  kerana promosi melalui 1MDB boleh dikata diperolehi setiap hari secara percuma.

Sebab itu, KJ juga kata sekurang-kurangnya penganjuran itu dihentikan buat sementara. Maknanya, selagi isu 1MDB masih ada dan diperkatakan di seluruh dunia untuk beberapa tahun mendatang, jimatkanlah wang dengan menghentikan seketika penganjuran Formula 1 itu.

Terlihat bijak  KJ dengan serampang dua matanya. Dalam dia bertindak seperti membantu, dia jua mahu "mengenakan" Najib berkaitan 1MDB dan seterusnya menjadikan permusuhan Perdana Menteri dengan Tun Mahathir terus "panas" melalui penghapusan satu lagi legasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA