Isnin, 31 Oktober 2016

Rizab Selangor meningkat RM3.62 bilion

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ini menunjukkan Selangor kekal sebagai gedung kuasa ekonomi negara.
azmin-selangor-1SHAH ALAM: Rizab Selangor sehingga 14 Oktober 2016 melonjak kepada RM3.62 bilion berbanding RM3.26 bilion pada tahun lalu, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Menteri besar Selangor itu berkata prestasi kewangan semasa kerajaan negeri pada 14 Oktober 2016 kekal kukuh dengan lebihan RM 351.38 juta.
“Sebagai sebuah kerajaan yang peduli rakyat, Belanjawan 2017 akan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk meringankan bebanan kos sara hidup rakyat khususnya kalangan kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40),” katanya pada Pembentangan Belanjawan 2017 Selangor hari ini.
Azmin berkata berdasarkan statistik terbaru daripada Malaysia Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Negeri Selangor sehingga Jun 2016 mencatatkan jumlah pelaburan RM3.04 bilion daripada 130 projek yang diluluskan.
Katanya, ini menunjukkan Selangor kekal sebagai gedung kuasa ekonomi negara.
“Jabatan Perangkaan Negara dalam laporan 30 September lalu mengesahkan Selangor kekal sebagai penyumbang utama KDNK negara, malah bagi 2015, sumbangan negeri ini meningkat kepada 22.6%,” katanya.
Selain itu, sehingga 28 Oktober lalu kerajaan negeri mencatatkan kutipan hasil RM2.27 bilion berbanding 2016 sebanyak RM2.25 bilion.
“Hasil Cukai mencatatkan kutipan RM556.64 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM1.54 bilion dan Teriman Bukan Hasil (RM182.18 juta).
“Ini membuktikan pentadbiran kerajaan negeri berjaya menutup segenap lubang ketirisan dan memperteguh integriti,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA