Jumaat, 28 Oktober 2016

Rasuah di IPT: Jangan sampai jadi barah

IPT perlu bebas daripada rasuah bagi memelihara intergriti pendidikan tinggi negaraIPT perlu bebas daripada rasuah bagi memelihara intergriti pendidikan tinggi negara
Semua pihak perlu memandang serius kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil yang mengesahkan wujud perlakuan rasuah membabitkan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dengan menawarkan wang kepada pensyarah untuk menaikkan gred pencapaian akademik dan lulus peperiksaan.
Dr Mohd Nuri Al-AminDr Mohd Nuri Al-AminSehubungan itu Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Akademia Ummah Sejahtera (ARUS) Perak, Dr Mohd Nuri Al-Amin menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyiasat dakwaan ini dan menubuhkan jawatankuasa khas siasatan agar ia tidak merebak secara berleluasa sama ada di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mahupun di Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
"Gejala tidak sihat di kalangan mahasiswa ini perlu dibendung secara serius kerana ianya tidak sepatutnya wujud di dalam institusi pendidikan yang menjadi pusat penyebaran ilmu ketamadunan, pengukuhan nilai-nilai mulia dan pembangunan modal insan bagi menyediakan kepimpinan negara di masa hadapan," ujarnya.
Menurutnya, rasuah adalah isu sejagat yang perlu ditentang habis-habisan apatah lagi di dalam bidang pendidikan.
KPT serta SPRM, tambah beliau perlu berganding bahu membanteras perilaku rasuah di IPT supaya ia tidak mencemar integriti institusi pendidikan di negara ini.
"Pihak IPT juga wajar memberikan segala komitmen bagi menentang rasuah kerana masa depan negara kita boleh hancur jika IPT menjadi medan permulaan rasuah yang merosakkan sistem pentadbiran dalam negara kita," tegas beliau.
Beliau turut menyarankan KPT memperkenalkan kurikulum dan sistem pembelajaran yang lebih berkesan untuk menerapkan asas nilai-nilai mulia seperti integriti di kalangan mahasiswa bagi mengekang gejala rasuah.
"Pengukuhan sistem nilai di kalangan mahasiswa adalah penting kerana mereka bakal menjadi pemimpin, pentadbir atau pembuat dasar yang perlu bebas dari najis rasuah demi kelangsungan kemakmuran negara yang kita cintai ini," jelas Dr Mohd Nuri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA