Isnin, 24 Oktober 2016

Rancangan PAS ganggu DAP tidak masuk akal, kata penganalisis

Demokrasi penduduk di kawasan yang ditandingi DAP berbeza dengan PAS, yang sepatutnya melihat Umno sebagai pesaing utama
Prof-Faisal-S-HazisPETALING JAYA: PAS perlu sedar pesaing utama adalah Umno dan bukannya DAP, kata penganalisis politik Faisal S Hazis.
Semalam, Mursyidul Am PAS baharu Hashim Jasin dilapor lidah rasmi Harakahdaily sebagai berkata PAS mahu bertanding di kerusi yang ditandingi parti pembangkang itu.
Penganalisis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menyifatkan rancangan PAS sebagai “tidak masuk akal”, kerana demografi penduduk di kawasan yang ditandingi DAP berbeza dengan PAS.
“Pelik bila PAS melihat DAP sebagai pesaing. Mereka perlu sedar pesaing utama mereka adalah Umno.
“Pada 1990 dan 1999, PAS berjaya menang jumlah kerusi yang besar kerana Umno lemah pada ketika itu. Sejak itu, PAS bertanding di semua kerusi majoriti Melayu yang ditandingi Umno,” kata Faisal kepada FMT.
“Rancangan PAS itu tidak masuk akal.”
Beliau berkata pilihan raya umum tidak akan dipanggil dalam masa terdekat dan PAS akan kembali “waras”.
Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya percaya PAS berbuat demikian dengan harapan Umno akan menyokong usul PAS yang akan dibahaskan di Parlimen.
“Kenyataan PAS itu dikeluarkan dengan harapan ia akan mendapat kepercayaan Umno. Itu petanda PAS mahu menjarakkan diri daripada DAP.
“Bagaimanapun, tidak ada satu kepastian. Hubungan antara Umno dan PAS masih belum jelas. Mungkin strategi PAS ia akan menyokong PH di peringkat Parlimen, tetapi bersendirian di peringkat Dewan Undangan Negeri,” kata Awang Azman kepada FMT. “Tidak ada kepastian”.
Ini bukan kali pertama Hashim Jasin membidas DAP. Pada Oktober, beliau menegaskan partinya tidak akan bekerjasama dengan DAP dan bersedia untuk menghadapi perlawanan 3 penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
Beliau menganggap PAS-DAP tidak lagi boleh didamaikan kerana DAP melanggar perjanjianya untuk bekerjasama dengan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya kerjasama dengan DAP pada PRU13 berdasarkan kepada pendekatan politik bersyarat manakala kerjasama dengan Umno atas dasar kesatuan penganut Islam.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagaimanapun percaya masih ramai ahli PAS menyokong perikatan pembangkang walaupun pemimpin PAS tidak lagi mahu bekerjasama dengan DAP.
Katanya parti pembangkang mengambil iktibar daripada pilihan raya negeri Sarawak Mei lalu, yang menyaksikan pertembungan pelbagai penjuru antara BN, PH dan PAS.
Katanya keadaan sekarang mendesak parti pembangkang supaya membentuk blok terbesar di Parlimen.
“Kita sedar sekiranya kita tidak bersama kita akan kalah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA