Jumaat, 21 Oktober 2016

Rakyat Tanggung Kerajaan BN: Kutipan GST 2016 dijangka naik 42.5%

Hasil cukai kekal sebagai sumber utama dengan mewakili 78.6% daripada jumlah hasil kerajaan.
gst_bajet
KUALA LUMPUR: Kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang lebih tinggi dan penjanaan hasil tambahan daripada langkah yang diumumkan semasa pengubahsuaian Bajet 2016 mampu mengimbangi hasil kerajaan Persekutuan yang dijangka menyusut pada 2016.
Menurut Laporan Ekonomi 2016/17 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, kutipan GST pada 2016 dijangka meningkat dengan mendadak sebanyak 42.5% kepada RM38.5 bilion berbanding RM27 bilion tahun lepas, menggambarkan pelaksanaannya bagi tempoh 12 bulan.
Hasil kerajaan Persekutuan dijangka menyusut 3% berbanding tahun lepas kepada RM212.6 bilion, dengan jumlah hasil sebagai peratusan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dianggar pada 17.2%.
Penurunan hasil tersebut terutamanya disebabkan kutipan berkaitan petroleum yang berkurangan sebanyak 34.4% berikutan harga minyak mentah yang lebih rendah.
Hasil cukai juga kekal sebagai sumber utama dengan mewakili 78.6% daripada jumlah hasil kerajaan dengan jangkaan peningkatan marginal 1% pada 2016 kepada RM167.1 bilion, atau 13.6% daripada KDNK, berbanding RM165.4 bilion pada 2015.
Cukai langsung, yang menyumbang 52% kepada jumlah hasil, dijangka berkurang 1.1% kepada RM110.5 bilion pada 2016 manakala cukai pendapatan syarikat (CITA) yang merangkumi 37.8% daripada jumlah hasil cukai, dianggar menyusut 0.8% kepada RM63.2 bilion.
Laporan tersebut menyatakan penurunan CITA disebabkan pengurangan kadar cukai itu daripada 25% kepada 24% dan 20% kepada 19% bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Sementara itu, kutipan cukai pendapatan individu dijangka meningkat 7% kepada RM28.2 bilion disokong oleh pertumbuhan stabil guna tenaga dan pendapatan.

Kutipan cukai pendapatan petroleum (PITA) bagaimanapun dijangka berkurang 26.3% kepada RM8.5 bilion disebabkan oleh andaian harga minyak mentah yang lebih rendah pada AS$40 setong berbanding AS$52 pada 2015.
Bagi cukai tidak langsung pula, ia dijangka meningkat 5.5% kepada RM56.6 bilion, disumbang terutamanya oleh kutipan GST.
Duti eksais dianggar berkurang 0.7% kepada RM11.8 bilion disebabkan unjuran jualan kenderaan bermotor yang lebih rendah iaitu daripada 666,674 unit pada 2015 kepada 580,000 unit tahun ini.
Duti eksport juga dijangka berkurang 21.7% kepada RM0.8 bilion daripada RM1 bilion tahun lepas, selaras dengan harga komoditi yang lebih rendah dan jumlah eksport yang lebih kecil.
Dalam pada itu hasil bukan cukai dijangka berkurangan 15.2% kepada RM45.5 bilion berbanding RM53.6 bilion pada 2015 akibat penyusutan terimaan daripada pendapatan pelaburan, khususnya dividen Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sebanyak RM16 bilion berbanding RM26 bilion yang dicatatkan tahun lepas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA