Khamis, 20 Oktober 2016

Rafizi lancar ‘cara matematik’ dedah pembaziran jabatan kerajaan

Indeks baharu itu bertujuan memberikan bukti pembaziran dengan berasaskan perkiraan sebagai tambahan kepada laporan audit tahunan.
rafizi-now
KUALA LUMPUR: Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) yang diterajui Rafizi Ramli semalam melancarkan Indeks Pembaziran Kerajaan NOW (NGWI), bertujuan memantau rasuah dan penirisan dalam jabatan kerajaan menggunakan formula matematik.
Ahli Parlimen Pandan dari PKR itu turut berikrar akan menerbitkan laporan penuh mengenai kebocoran dana kerajaan setiap tahun sebagai usaha memberikan tekanan bagi memperbaiki pengurusan kewangan.
Rafizi berkata ia kerana kementerian dan jabatan kerajaan sebelum ini tidak mengendahkan laporan audit yang dikeluarkan Ketua Audit Negara yang menyelar amalan pembaziran hampir setiap tahun.
“Bila mereka ada sebuah indeks sebagai rujukan, akan wujud tekanan awam bagi memperbaiki keadaan,” katanya pada forum di Sungai Besi, semalam.
“Saya berharap selepas ini, kerajaan akan diletakkan di bawah penelitian lebih rapi daripada orang awam.”
Beliau berharap kementerian dan jabatan kerajaan akan mengguna pakai kaedah pemantauan NGWI.
“Kalau tidak mahu hubungi kami menerusi NOW, kami akan menghantar buku laporan kepada mereka.
“Ini kerana ia bukan berkenaan politik, tetapi matematik.”
NGWI mengumpul data dan membuat perkiraan purata peratusan pembaziran menerusi formula Confidence Interval (Selang Keyakinan), kaedah statistiks untuk mengukur sejauh mana sesuatu perkiraan itu stabil.
Berdasarkan Laporan Audit Negara pada 2014, NOW merumuskan kerajaan secara purata melakukan pembaziran 15.5%.

Ia juga menganggarkan angka sebenar pembaziran kerajaan lebih tinggi disebabkan kaedah perkiraan yang digunakan itu masih konservatif.
Rafizi berkata dengan wujudnya NGWI, pihak berkuasa tidak boleh mendakwa NOW kerana mendedah amalan rasuah dan pembaziran.
“Sebelum ini, orang ramai bimbang berkata sesuatu kerana pihak berkuasa boleh mendakwa mereka berfitnah, seperti yang saya hadapi beberapa kali.”
Menurutnya, dengan adanya perkiraan saintifik, pihak berkuasa tidak lagi boleh menyaman atau menangkap mereka yang mendedahkan salah laku seperti itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA