Isnin, 24 Oktober 2016

Potong RM35 juta untuk SPRM beri mesej tidak serius lawan rasuah

Penganalisis berkata pengurangan itu memberikan tanggapan kerajaan berdolak dalih dalam melawan amalan rasuah
awang-pawi-macc-bajet-2017-1
PETALING JAYA: Bajet 2017 yang memotong peruntukan untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada RM251 juta tahun lalu kepada RM216 juta boleh memberi tanggapan yang kerajaan tidak bersungguh-sungguh dalam memerangi rasuah, kata seorang penganalisis politik.
Dr Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata sejumlah peruntukan besar perlu dibelanjakan sekiranya kerajaan serius menangani amalan rasuah khususnya melibatkan kes besar.
“Kita perlu teknologi canggih seperti di Hong Kong sekiranya mahu melawan rasuah, dan kita juga perlu latihan di samping mendapatkan kepakaran luar bagi memperkasakan SPRM,” katanya kepada FMT.aid.
“Bagaimana melawan rasuah menggunakan kaedah terkini seperti rasuah antarabangsa dan pengubahan wang sekiranya peruntukan dikurangkan?”
Pengurangan sebanyak RM35 juta, kata Awang Azman, memberikan tanggapan kerajaan berdolak dalih dalam melawan amalan rasuah.
Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen pula berkata pengurangan itu seolah-olah menghukum SPRM berikutan beberapa kejayaannya baru-baru ini, termasuk penangkapan pegawai atasan di Sabah yang terlibat dengan wang tunai berjuta ringgit.
“Anda memberikan mesej kepada umum yang kerja mereka tidak dihargai,” katanya.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar berkata bajet yang tidak konsisten itu merupakan salah satu sebab wakil rakyat pembangkang bertindak keluar dewan ketika ia dibentangkan Datuk Seri Najib Razak pada Jumaat lalu.
Menurutnya, menteri kewangan itu tidak langsung memberikan penjelasan langkah yang diambil kerajaan bagi menghentikan ketirisan dana awam dan melawan rasuah.

“Bajet itu tidak dijelaskan secara terperinci. Contohnya, mengapa keutamaan diberikan untuk beberapa perkara sementara dana untuk insititusi penting seperti SPRM dikurangkan?”
Pengarah pusat kajian Merdeka Center Ibrahim Suffian, bagaimanapun, berkata SPRM bukan satu-satunya institusi yang dipotong peruntukannya.
“Kerajaan terpaksa mengurangkan perbelanjaan dan ia merentasi semua,” katanya.
“Contohnya, peruntukan untuk universiti menerima pemotongan besar berbanding tahun lalu.”
Bajet 2017 memperuntukkan RM6.12 bilion bagi menampung kos operasi 20 universiti awam, berbanding RM7.57 tahun lalu, iaitu pengurangan hampir 20%.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA