Khamis, 27 Oktober 2016

Polis tak benar Bersih 5 diteruskan jika tiada notis

Khalid berkata, walaupun terdapat akta membenarkan perhimpunan aman berlangsung, terdapat garis undang-undang yang perlu dipatuhi.
khalid-bersih-5-1
KUALA LUMPUR: Polis tidak akan membenarkan perhimpunan Bersih 5 pada 19 November melainkan jika penganjur menghantar notis berhubung perhimpunan yang dijadualkan pihak mereka.
Bercakap kepada pemberita pagi ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beliau “bosan” mengingatkan jawatankuasa pemandu agar mengemukakan notis “setiap hari”, dan mereka masih “tidak mahu mendengar”.
Menurut Khalid, kumpulan Baju Merah, yang sedang menjalankan perhimpunan bertentangan dengan Bersih 5, menghantar notis untuk perhimpunan mereka 2 hari lepas.
“Terdapat proses. Mereka (Bersih) perlu mendapatkan ‘tuan punya kebenaran, tuan punya tempat… mereka mesti mematuhi undang-undang dan sekurang-kurangnya, berikan notis.”
Khalid berkata walaupun Akta Perhimpunan Aman membenarkan perhimpunan berlangsung dan rakyat berhimpun untuk membantah, undang-undang mesti dipatuhi.
Ditanya sama ada Bersih 5 diberi kebenaran untuk meneruskan rancangan mereka, Khalid berkata: “Tidak kerana mereka tidak memberi sebarang notis.”
“Kami akan mengambil tindakan. Tunggu… perlahan-lahan, kami akan ambil tindakan. Ia normal,” katanya sambil menambah notis awal diperlukan untuk membolehkan polis membuat persediaan bagi menangani sebarang kejadian tidak diingini.

“Jika mereka tidak memberi notis dan tiba-tiba muncul di Chow Kit dan jalan-jalan lain, bagaimana kita boleh menghantar orang kita di sana?
“Kemudian, mereka akan menyalahkan kita kerana tidak meletakkan polis sebagaimana perintah yang diperoleh. Kedua-dua pihak sentiasa melakukan ini (meletakkan kesalahan kepada polis),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis tamat pengajian peserta kepolisan moden di ibu pejabat polis, hari ini.
Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata, beliau akan bertindak balas kepada kenyataan Khalid dalam satu sidang media petang ini.
Pada Julai, Khalid memberikan lampu hijau kepada Bersih 5, dengan syarat peserta tidak menggesa peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Bagaimanapun, beliau meminta penganjur termasuk Baju Merah agar memaklumkan pihak polis agar mereka dapat merancang lebih awal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA