Ahad, 23 Oktober 2016

Polis pisahkan konvoi Bersih, Baju Merah di Kapar

Sementara itu, di Johor, kumpulan Baju Merah dilaporkan menahan konvoi Bersih sebelum bersetuju memberi laluan kepada mereka.
polis_bersih_merah_60013
PETALING JAYA: Konvoi Bersih dalam melalui Kapar, Selangor tanpa sebarang insiden tidak diingini hari ini, menerusi pemerhatian polis yang memastikan mereka tidak bertembung dengan penyokong Baju Merah.
Bagaimanapun, di Johor dilaporkan konvoi Bersih ditahan kumpulan Baju Merah di jalan antara Batu Pahat menghala ke Muar.
Dilaporkan, konvoi itu kemudiannya meneruskan perjalanan selepas perbincangan diadakan antara pemimpin kumpulan berkenaan.
Konvoi hari ini berbeza dengan demonstrasi pada minggu lalu di Kuala Selangor, ketika 2 wartawan dan juruvideo The Star serta wartawan Malaysiakini diganggu penunjuk perasaan anti Bersih.
Konvoi di Kapar hari ini selamat tiba di pejabat PKR bandar itu kira-kira jam 2.30 petang, menurut Star Online.
Polis mengepung jalan untuk memastikan mereka terpisah daripada penyokong Baju Merah, yang turut disertai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Yunos.
Peserta konvoi kemudian memandu keluar, kembali kira-kira jam 3 petang dengan kedua-dua kumpulan bersurai secara aman kira-kira sejam kemudian.

Dua video klip dimuat naik di Facebook Bersih 5 Johor menunjukkan konfrontasi antara konvoi Bersih dengan ahli Baju Merah, yang dilaporkan berkata:”Sila pusing balik. Sini, kami tak terima Bersih.”
Selepas perbincangan antara ahli Bersih dan salah seorang daripada kumpulan Baju Merah, lelaki terbabit menjerit:”Okay, pergi. Baju kuning boleh pergi,” lapor Malaysiakini.
Bersih melancarkan konvoi untuk mempromosikan rancangan mengadakan himpunan jalanan di Kuala Lumpur pada 19 November depan bagi mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan reformasi politik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA