Khamis, 20 Oktober 2016

PKR tunggu Hadi bentang RUU 355 sebelum nyata pendirian

Dr Wan Azizah menantikan penjelasan dan jaminan perdana menteri yang hak di bawah Perlembagaan akan dilindungi, sebelum memutuskan pendirian seterusnya.
wan-azizah-hadi
PETALING JAYA: PKR akan menunggu pembentangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum menetapkan pendirian berhubung Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355).
“Walaupun PKR mempunyai pendirian sendiri tentang cara memperkasakan Mahkamah Syariah dan ada beberapa kemusykilan berkaitan RUU 355, kami mengiktiraf hak ahli Parlimen Marang (Hadi) untuk mengemukakan rang undang-undang ini.
“Dalam perbahasan nanti, kami menantikan penjelasannya dan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang hak di bawah Perlembagaan akan dilindungi, sebelum memutuskan pendirian seterusnya,” kata Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, pendirian PKR agar RUU 355 dibahaskan dengan syarat mana-mana pindaan perlu mematuhi prinsip keadilan dalam Islam, tidak bercanggah dengan “teks dan semangat” Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia.
Antara persoalan PKR, katanya lagi, adalah apabila RUU itu sengaja dibiarkan berlarutan tanpa penjelasan kepada parti politik dan masyarakat, serta kesamaran skop hukuman.
RUU 355 itu antara lain ingin memasukkan seksyen baharu iaitu Seksyen 2A yang menyebut “Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang Syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas selain hukuman mati”.
Pelbagai pihak mengkritiknya sebagai terlalu umum, antaranya Dr Zulqarnain Lukman daripada Biro Undang-undang Amanah yang menyifatkannya umpama “memberi cek kosong”.
Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, masih ramai salah tanggapan berhubung RUU 355, antaranya menyamakannya dengan hudud.
“Apa yang membimbangkan adalah pemimpin menyatakan RUU 355 bukan hudud, tetapi dijaja sebagai hukum itu, justeru wajib disokong.
“Tidak wajar apabila ada menganggapnya sebagai hudud dan tidak dapat dipersoalkan. Pada masa sama, tidak wajar ada pihak mempertikai hak mengutarakan pandangan termasuk (membawa) RUU itu,” katanya lagi.

Beliau juga menyeru agar perkembangan antarabangsa diambil kira ketika menilai RUU 355 itu, dengan secara khusus menyebut ulama terkemuka Yusuf Qaradawi dan Parti Ennahda Tunisia pimpinan Rachid Ghannouchi yang menurutnya lebih mementingkan keadilan dan tadbir urus berbanding pelaksanaan undang-undang Syariah.
PAS membawa RUU 355 dengan tujuan memperkasa Mahkamah Syariah, dengan meningkatkan had hukuman yang boleh dijatuhkan mahkamah itu.
Dr Wan Azizah turut menyenaraikan beberapa langkah yang diambil Selangor – negeri yang ditadbir Pakatan – dalam memperkasakan Mahkamah Syariah seperti menambah peruntukan kepada institusi agama serta melantik 2 hakim wanita di Mahkamah Tinggi Syariah dan 4 penolong pendaftar Mahkamah Rendah Syariah untuk menambahkan kelancarannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA