Ahad, 30 Oktober 2016

Persatuan bidas tanah adat Orang Asli jadi ‘supermarket’ penduduk bandar

Bob Manolan Mohamad berkata, sumber makanan dan bekalan air Orang Asli tercemar akibat aktiviti pembalakan di tanah adat mereka di Gua Musang.
bob
PETALING JAYA: Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia (Moada) kesal dengan sikap kerajaan negeri Kelantan yang didakwa tidak ikhlas menyelesaikan isu pembalakan di Gua Musang, sejak bantahan Orang Asli terhadap aktiviti itu, bulan lalu.
Presiden Moada, Bob Manolan Mohamad berkata, sumber makanan dan bekalan air Orang Asli tercemar akibat aktiviti pembalakan di tanah adat mereka.
“Kawasan hutan tanah adat mereka seperti ‘supermarket’ bagi penduduk di bandar. Di tanah adat inilah mereka mencari sumber makanan untuk meneruskan kehidupan mereka.
“Sumber air bersih mereka kotor dan tercemar, amat tidak sesuai digunakan untuk membasuh, jauh sekali untuk diminum. Sumber air bersih mereka 100% bergantung dari air sungai.
“Kini, mereka terpaksa mencari anak-anak sungai yang jauh dari perkampungan mereka untuk mendapat air bersih dan ini amat menyukarkan dan melibatkan kos kerana mereka menggunakan motosikal untuk mengangkut air,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, lebih 600 Orang Asli dari 6 kampung di Pos Bihai menyekat lori mengangkut keluar balak, selepas sekatan sama diadakan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah di Kampung Petei, Pos Bering, sejak 26 September lalu.
Mereka bertindak demikian bagi membantah aktiviti pembalakan, selepas mendakwa kerajaan Kelantan membenarkan aktiviti itu dijalankan di kawasan kira-kira 150 hektar sejak beberapa minggu lalu.
Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (Jaringan) Kelantan, Mustafa a/l Along memberi tempoh seminggu kepada kerajaan negeri untuk mengadakan rundingan dengan Orang Asli atau berdepan sekatan seperti di Kampung Petei.
Bob Manolan berkata, Moada sudah mengadakan lawatan dan bermalam di kawasan sekatan itu di Simpang Petei yang menyebabkan 23 perkampungan terjejas akibat aktiviti pembalakan di tanah adat orang Temiar.
Katanya, tuntutan dan bantahan Orang Asli itu mempunyai asas kukuh dan mereka bukannya mahu menuntut atau menafikan hak orang lain, tetapi memperjuangkan hak serta tempat tinggal mereka tidak diganggu.
Beliau juga hairan kenapa agensi berkaitan masih mengadakan sekatan ke kampung Orang Asli, walaupun aktiviti pembalakan sudah dihentikan buat sementara.
“Sampai bila blockade ini akan berakhir dan kemelut kemanusian yg dihadapi orang Temiar ini akan tamat? Kami menggesa kerajaan negeri mengadakan perbincangan dan musyawarah dengan penduduk kampung supaya perkara ini akan berakhir segera,” katanya.

Bob Manolan turut menyifatkan kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mendakwa orang Temiar dihasut pihak tertentu sebagai tidak jujur dan cubaan melepas tangan daripada isu itu.
Beliau turut kesal dengan kenyataan Ahli Parlimen BN Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mendakwa Orang Asli di daerah itu tiada hak dan kerajaan negeri terpaksa membalak kerana tiada duit.
“Adakah untuk mencari dana negeri hanya melakukan pembalakan dan kenapa (melakukan) pembalakan di kawasan tanah adat Orang Asli?
“Kayu balak ini Tuhan yang tanam, sesiapa sahaja boleh jadi kerajaan, kalau hanya bergantung kepada kayu balak sebagai sumber kewangan.”
Pada 18 Oktober lalu, Tengku Razaleigh menggesa Dewan Rakyat meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memberi hasil lebih banyak kepada kerajaan negeri Kelantan, memandangkan hasil negeri itu terhad.
Pada 3 Oktober lalu, kerajaan negeri Kelantan mengeluarkan arahan menangguhkan aktiviti pembalakan di HSK Balah, selepas lebih 200 penduduk Orang Asli membuat sekatan menghalang laluan keluar masuk lori pengangkut balak di Kampung Petei, sejak 26 September lalu.
Kumpulan itu menggesa semua aktiviti pembalakan di HKS Balah berhampiran kawasan penempatan mereka dihentikan dengan mendakwa ia merosakkan alam sekitar dan kepupusan hutan sehingga menjejaskan mata pencarian mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA