Rabu, 26 Oktober 2016

Perangi rasuah tiada disebut dalam Bajet 2017, kata Ketua Pembangkang


Wan Azizah Wan Ismail Wan Azizah Wan Ismail Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 21 Oktober lalu didakwa tidak menyebut tentang usaha membasmi rasuah ketika negara masih berada di tangga 54 dalam Indeks Persepsi Rasuah.
Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, lebih mengejutkan Malaysia merupakan negara kedua selepas Brazil dalam senarai negara paling korup di dunia.
“Puas saya meneliti setiap helaian teks ucapan Yang Berhormat Menteri Kewangan, namun beliau tidak menyebut peri pentingnya memerangi gejala rasuah di kalangan penjawat awam, rasuah untuk mendapatkan kontrak, penyelewengan dana awam dan salah guna kuasa.
“Malangnya dalam usaha membanteras rasuah yang penuh sandiwara, ikan bilis ditangkap manakala ikan jerung terlepas,” ujar Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat kelmarin.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, rasuah dan salah guna kuasa di peringkat ‘ikan bilis’ seperti melibatkan pegawai kerajaan pada masa ini juga mencecah angka yang besar apatah lagi lagi korupsi dilakukan ‘ikan jerung’.
“Jumlah dedak rasuah ikan bilis yang berenang dalam kolam Jabatan Air Sabah sudah pun melebihi RM114 juta wang tunai tidak termasuk beberapa kereta mewah. Bukan satu sahaja beberapa kereta mewah, beberapa geran tanah, barang kemas, beg tangan mewah dan sebagainya.
“Bayangkanlah jumlah dedak rasuah ikan-ikan jerung berbanding ikan-ikan bilis yang sudah pasti mencecah berbilion-bilion ringgit,” tambahnya lagi.

Akibat bencana korupsi dan berterusannya penyelewengan, jelasnya, rakyat akan bertambah sengsara dengan hutang isi rumah membengkak selain pada masa sama paksaan cukai GST yang mengganas serta kadar gaji yang mendatar.
Memandangkan Najib Razak turut memetik huraian Imam Al-Mawardi pada pembentangan Bajet 2017, Wan Azizah turut bersandarkan sumber sama tetapi berkenaan rasuah.
“Rasuah adalah apabila yang diberikan kerana menuntut sesuatu, hadiah pula apa yang disumbang tanpa sebarang balasan.
“Sesungguhnya, bajet kali ini adalah bajet yang objektifnya jelas hanya sekadar untuk memenangi hati rakyat sebelum gendang pilihan raya dipalu dan bukanlah untuk membela nasib rakyat kebanyakan yang mahukan penambahbaikan taraf hidup,” tegasnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA