Sabtu, 22 Oktober 2016

Perang Jamal terhadap BERSIH isu serius, polis jangan pandang remeh

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Wujud intimidasi dan provokasi dalam pengisytiharan ‘perang’ terhadap Bersih seperti yang diucapakan ketua samseng UMNO, Datuk Jamal Yunos kepada penyokongnya sejurus selepas dibebaskan daripada tahanan reman semalam.
Justeru, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini yang memandang remeh ucapan Jamal itu adalah tidak wajar.
Menurut Charles, polis sepatutnya mengambil tindakan tegas terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu bagi memastikan insiden kekasaran terhadap penyokong Bersih oleh kumpulan samseng UMNO yang berlaku beberapa minggu lalu tidak berulang kembali.
“Dengan mengambil sikap lepas tangan, ketegangan di antara kumpulan samseng UMNO dan penyokong Bersih akan meningkat.
“Malah, ia berpotensi untuk bertukar menjadi lebih ganas, seperti mana yang kita lihat dua minggu yang lepas,” katanya kepada Roketkini.
Peserta konvoi Bersih telah diganggu dan dipukul oleh samseng UMNO di beberapa lokasi yang dilawati mereka sejak awal bulan ini.
Jamal ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin bagi membantu siasatan mengikut seksyen 500 dan 503 Kanun Keseksaan kerana fitnah dan ugutan jenayah, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

Namun beliau dibebaskan lebih awal walaupun tahanan reman yang dikeluarkan adalah untuk dua hari.
Sejurus selepas dibebaskan, Jamal mengumumkan akan mengerakkan kumpulannya secara besar-besaran untuk ‘menggempur dan berperang’ dengan Bersih.
Pun begitu, Khalid seperti yang dilaporkan media menganggap kenyataan itu sebagai ‘perang mulut’ dan tidak lebih sekadar itu.
“Terpulang pada kamu jika kamu fikir ia boleh menyebabkan sesuatu, buatlah laporan (polis). Kita akan tengoklah. Tetapi sekadar mengatakan dia melancarkan perang, itu pada saya, cuma perang mulut,” katanya seperti dipetik portal berita, Malaysiakini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA