Isnin, 24 Oktober 2016

Pengurangan bajet KPT ada baiknya, kata Idris Jusoh

Pengurangan peruntukan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam Bajet 2017 perlulah dilihat secara positif, kata menteri berkenaan Datuk Seri Idris Jusoh.
Beliau berkata langkah itu dibuat selaras dengan usaha mengurangkan kebergantungan universiti awam kepada kerajaan selain menggalakkan institusi berkenaan memaksimumkan penggunaan asetnya.
"Ia juga selaras dengan Pelan Tindakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 yang tidak mahu universiti awam terlalu bergantung kepada kerajaan.
"Sekarang, pergantungan universiti awam kepada kerajaan adalah di antara 70 hingga 90 peratus," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam bersama Alumni University of New Haven (UNH) di ibu negara, malam ini.
Bajet 2017, yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat, memperuntukkan RM250 juta kepada Kementerian Pendidikan Tinggi.
Mengenai majlis itu yang dihadiri kira-kira 200 alumni, Idris yang juga bekas penuntut UNH yang terletak di Connecticut, Amerika Syarikat, berkata ia merupakan usaha baik bagi menghimpunkan bekas penuntutnya.
Sementara itu, bekas penuntut UNH Datuk Serin Sudah @ Masree, 58, berkata beliau menuntut di universiti itu dari peringkat ijazah sarjana muda hingga sarjana dalam bidang ekonomi dari 1982 hingga 1988.
"Suasana di universiti itu kini lebih baik dengan pelbagai kemudahan berbanding ketika saya belajar dahulu," katanya sambil berharap lebih ramai rakyat Malaysia dapat mengikuti pengajian di universiti itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA