Khamis, 20 Oktober 2016

Penarikan subsidi minyak bukan alasan naik harga makanan, kata persatuan restoran

Menurut Presma, peniaga restoran sememangnya dilarang membeli minyak masak yang disubsidi.
Noorul Hassan Saul HameedPETALING JAYA: Pemilik restoran tidak boleh menjadikan penarikan subsidi minyak masak sebagai alasan untuk menaikkan harga makanan.
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) berkata, ini kerana menurut undang-undang, pengusaha restoran perlu membeli minyak masak dengan harga komersial.
“Dasar kerajaan menyatakan subsidi minyak masak untuk orang awam. Jika selama ini ada peniaga restoran yang membeli minyak masak pada harga yang sama di pasar raya atau borong, ini disebabkan tiadanya penguatkuasaan atau kerajaan beri kelonggaran.
“Tiada alasan peniaga restoran untuk menaikkan harga makanan mereka terutama peniaga yang selama ini menggunakan minyak masak subsidi,” kata Pengerusi Presma, Noorul Hassan Saul Hameed ketika dihubungi.
Justeru, Noorul Hassan berkata orang ramai tidak perlu bimbang akan kemungkinan harga makanan di restoran meningkat ekoran perkembangan ini.

Menurut laporan Oriental Daily hari ini, Persatuan Pekilang-pekilang Minyak Makan Malaya (Meoma) mengumumkan kerajaan bakal memansuhkan subsidi bagi produk itu bermula November.
Ia akan dijalankan secara 2 peringkat, dan peringkat pertama (1 November – 31 Disember) melibatkan minyak masak campuran botol seberat 500gm, 1kg, 2kg, 3kg dan 5kg serta minyak masak sawit tulen botol seberat 500gm, 1kg, 2kg dan 3kg.
Tanpa harga siling kerajaan, harga minyak masak akan ditentukan peniaga berdasarkan apungan pasaran, kata laporan itu lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA