Selasa, 25 Oktober 2016

Pemuda Amanah Nasional sifatkan Bajet 2017 hanya gula-gula pilihan raya


Syed Marwan MujahidSyed Marwan MujahidBajet 2017 yang diumumkan Perdana Menteri hanya gula-gula untuk rakyat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dijangka berlangsung tahun depan, tegas Pengarah Hal Ehwal Ekonomi Pemuda Amanah Nasional, Syed Marwan Mujahid.
Menurutnya, rumusan itu dapat dilihat daripada kenaikan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan peruntukan mencecah RM6.8 bilion serta pelbagai kelebihan kepada 1.6 juta penjawat awam.
“Daripada bajet ini, kita lihat banyak juga gula-gula yang diberikan kerajaan. Tidak dinafikan sumbangan penjawat kerajaan kepada pembangunan negara, tetapi perlu diingat kos untuk menanggung bajet ini sebenarnya diambil daripada GST (cukai barang dan perkhidmatan) yang turut mereka bayar.
“Datuk Seri Najib sendiri dengan bangga menyatakan bahawa hampir RM30 bilion dikutip daripada GST sehingga 19 Oktober, sedangkan rakyat marhaenlah yang membayarnya,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Beliau turut menyifatkan belanjawan kali ini masih tidak dapat menyelesaikan pelbagai isu fundamental rakyat antaranya seperti kenaikan kos sara hidup, kenaikan harga barang terutamanya makanan, isu hutang isi rumah serta masalah rumah mampu milik.
“Isu hutang isi rumah negara yang hampir mencecah 90 peratus KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) contohnya, tidak diberi perhatian serius.
“Malah, bajet ini menggalakkan lagi rakyat menambah hutang melalui fasiliti berhutang bagi membeli telefon pintar dan juga peningkatan nilai hutang untuk membeli motosikal.
“Begitu juga dalam isu perumahan. Rakyat digalakkan berhutang lagi melebihi kemampuan mereka dengan pelbagai fasiliti untuk menambah hutang untuk membeli rumah,” ujarnya.
Padahal, jelasnya, isu sebenarnya adalah ketidakmampuan polisi kerajaan Barisan Nasional untuk menangani jurang bekalan rumah yang harganya mampu milik dengan permintaan rakyat.
“Jika hal ini dibiarkan berterusan seperti terkandung dalam laporan Khazanah Research, kita bakal melihat krisis perumahan dalam beberapa tahun,” ujarnya lagi.
Subsidi dipotong
Mengulas lanjut belanjawan defisit RM43.15 bilion dalam pembentangan Najib itu sekaligus meneruskan bajet defisit 20 tahun berturut-turut, Syed Marwan berkata, kerajaan tiada langkah serius untuk menangani hutang kerajaan yang semakin menimbun.
“Bayaran balik hutang (debt-servicing) kerajaan makin meningkat dan hampir mencecah RM30 bilion setiap tahun. Ini tidak termasuk ‘off-budget liability’ yang ditanggung kerajaan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau juga bimbang dengan kesan pemotongan subsidi terhadap rakyat ketika pada masa sama ‘gula-gula’ terus ditabur.
“Subsidi dan bantuan sosial semakin banyak dipotong. Daripada RM27.3 bilion pada 2014), RM24.6 bilion (2015), RM24.6 bilion (2016) dan akan dikurangkan lagi RM22.4 bilion pada tahun depan seperti disebut Tony Pua sebelum ini.

“Jadi, tahun hadapan sebenarnya adalah tahun yang mencabar buat rakyat Malaysia apabila kerajaan tidak memberi perhatian untuk menyelesaikan isu fundamental, tapi lebih galak menekan rakyat dan berhelah dengan memberikan gula-gula,” tegasnya lagi.
Untuk rekod Najib pada pembentangan Bajet 2017, 21 Oktober lalu mengumumkan BR1M bagi isi rumah dalam senarai e-Kasih dan berpendapatan bulanan kurang RM3,000 dinaikkan daripada RM1,050 dan RM1,000 kepada RM1,200.
BR1M bagi isi rumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 akan dinaikkan daripada RM800 kepada RM900 manakala individu bujang berpendapatan kurang RM2,000 akan menikmati kenaikan daripada RM400 kepada RM450.
Sementara itu, kemudahan pembiayaan membeli komputer kepada penjawat awam pula diperluas meliputi pembelian telefon pintar dengan had pinjaman sehingga RM5,000 setiap tiga tahun manakala had pinjaman pembelian motosikal naik daripada RM5,000 kepada RM10,000.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA