Sabtu, 29 Oktober 2016

Pemimpin Umno Tambun kesal Husni persoal 1MDB

Pemimpin akar umbi Umno di Parlimen Tambun kesal dengan tindakan wakil rakyatnya Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yang dilihat begitu lantang mengkritik kerajaan sehingga melanggar sumpah kerahsiaan.
Menurut sumber itu yang hanya bersetuju bercakap jika identitinya dirahsiakan, segelintir anggota Umno Bahagian Tambun juga 'keliru' dengan kenyataan yang dilemparkan bekas menteri kewangan kedua itu berhubung pengurusan 1MDB.
"Persoalan yang ditimbulkan oleh beliau mengenai 1MDB bercanggah dengan beberapa penerangan yang beliau lakukan di peringkat akar umbi sebelum ini.
"Kenyataan beliau mengenai isu itu amat berbeza semasa di dalam dan setelah berada di luar kerajaan," kata sumber itu kepada Malaysiakini.
Semasa perbahasan ucapan Bajet 2017 Isnin lalu, Ahmad Husni meminta kerajaan menyatakan sebab 1MDB ditubuhkan dan sekiranya terdapat sebarang tindakan diambil kerana menyalurkan dana syarikat ke "tempat yang salah".
Ahmad Husni juga menyoal mengapa kerajaan hanya akan dibayar pada tahun 2020 bagi penjualan 60 peratus kepentingan dalam projek Bandar Malaysia kepada sebuah syarikat China.
Beliau turut membangkitkan sama ada imej Malaysia terjejas sekiranya 1MDB tewas dalam kes timbang tara berhubung tindakan International Petroleum Investment Co milik Abu Dhabi menuntut lebih AS$6.5 bilion daripada 1MDB di London.
Adakah Husni akan pertahan 1MDB jika jadi menteri?
Mengulas lanjut, sumber itu mempersoalkan sama ada Ahmad Husni akan membangkitkan persoalan berkenaan sekiranya khidmatnya selaku menteri kewangan kedua tidak ditamatkan pada rombakan kabinet lalu.
"Ada yang mempersoalkan sekiranya beliau disambung tugas selaku menteri kewangan kedua pada rombakan kabinet yang lalu, apakah beliau akan mempertahankan 1MDB?” katanya kepada Malaysiakini.
Sehubungan itu, menurutnya, majoriti anggota Umno kawasan Tambun kini mengambil pendekatan tunggu dan lihat dengan perkembangan sekarang.
"Di Tambun kebanyakan anggota Umno dan kepimpinan akar umbi tenang dengan mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap polemik yang ditimbulkan oleh Datuk Seri Husni.
"Manakala jawatankuasa Umno bahagian nampaknya kukuh dan teguh bersama kepimpinan sedia ada," kata sumber itu.
Tambahnya, hanya segelintir sahaja di kawasan sebuah kampung di Tambun cuba menangguk di air keruh dengan mengelirukan masyarakat setempat termasuk memasang banner sokongan terhadap Husni.
"Mereka ini sebenarnya adalah penentang tegar Husni sebelum ini sehingga bertindak menubuhkan BERSATU.

"Tetapi sekarang seolah-olah sedang dimobilisasikan oleh sesuatu pihak untuk bergerak sebagai penyokong Husni," kata sumber itu.
Ahmad Husni dilantik menjadi menteri kewangan kedua pada April 2009, beberapa bulan sebelum perjanjian pertama 1MDB dengan syarikat PetroSaudi International yang tidak kekal lama.
Bagaimanapun, Ahmad Husni meletak jawatan daripada kabinet dan melepaskan semua jawatan dalam Umno pada Jun 2016.
Sehingga kini Ahmad Husni masih menutup mulut mengenai sebab sebenar meninggalkan kerajaan tetapi dalam satu wawancara tiga bulan kemudiannya mengakui berada di bawah tekanan yang dahsyat susulan skandal 1MDB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA