KUALA LUMPUR - Berang dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa pemimpin pembangkang menuduh negara sedang alami ribut ekonomi, Dewan Rakyat menjadi kecoh siang tadi.
Tindakan pemimpin negara itu mencetuskan kemarahan ahli Parlimen pembangkang yang bangun serta-merta bersama plakad #SiapaMO1? sekaligus menukarkan suasana tenang dewan kepada hingar-bingar tidak terkawal.
"Ada pihak yang buat tuduhan #Bajet2017 adalah satu sandiwara, kononnya tanpa bukti dan kerajaan tidak mempunyai wang mencukupi.
"Malah ada pemimpin pembangkang menyebut pula Malaysia sedang mengharungi ribut ekonomi yang sukar pada tahun ini," kata Najib sebelum disambut dengan sorak kemarahan ahli Parlimen pembangkang.
Najib pada masa yang sama turut mendakwa pembangkang kerap kali melemparkan tuduhan kepada kerajaan Persekutuan kononnya Malaysia sedang bergelut dengan ekonomi yang menekan.
"Pembangkang juga mendakwa kerajaan Persekutuan bermain sandiwara dalam isu melibatkan ekonomi negara," katanya lagi.
Najib kemudiannya bertanya kepada ahli Parlimen pembangkang: "Siapa sebenarnya yang bersandiwara?"
Keadaan kecoh di sini, hari ini menyaksikan campur tangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang akhirnya terpaksa mengarahkan ahli Parlimen meninggalkan dewan sekiranya tidak mahu mendengar isi pembentangan Bajet 2017.
Seketika kemudian, rata-rata ahli Parlimen pembangkang khususnya DAP, PKR dan Amanah bertindak bangun meninggalkan dewan.

Perdana Menteri membentangkan Bajet 2017 hari ini dengan memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa komited untuk melaksanakan bajet bertanggungjawab melalui perbelanjaan berhemah untuk merangkumi semua segmen rakyat.
"Bajet ini bukanlah digubal bagi kepentingan atau berlegar kepada kumpulan rakyat tertentu sahaja, namun direka, bersifat inklusif demi kesejahteraan rakyat seluruhnya," kata Najib.