Ahad, 23 Oktober 2016

Pembangunan ketenteraan terjejas jika peruntukan dijerut

Penguncupan Bajet 2017 akan menjejaskan logistik, latihan dan operasi tentera darat, tentera laut dan udara, kata penganalisis
askar
PETALING JAYA: Pembangunan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak berkembang sekiranya peruntukan dalam cadangan Bajet 2017 terjerut, kata penganalisis pertahanan.
Menyifatkan cadangan belanjawan kelmarin sebagai belanjawan menguncup, felo kanan di Kajian Kemajuan Sosial (Refsa) Lam Choong Wah menyorot perhatian FMT kepada peruntukan Bajet 2017 yang kurang RM2 bilion berbanding 2016.
“Anggaran pengurusan terjejas besar, misalnya RM1.8 bilion telah dikurangkan daripada segi pengurusan.
“Logistik, latihan dan operasi 3 perkhidmatan ATM (darat, laut dan udara) akan terjejas juga. Ini telah dicerminkan dalam bajet,” katanya kepada FMT semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memperuntukkan RM15.1 bilion kepada Kementerian Pertahanan berbanding RM17.3 bilion tahun lepas.
Ia termasuk RM1.8 bilion untuk menyelenggara aset seperti pesawat, kapal peronda, peralatan komunikasi, bangunan dan senjata.
Mercu Bajet 2016 merangkumi perolehan 6 kapal tempur pesisir, sistem pertahanan udara jarak dekat, kereta perisai dan pesawat Airbus A-400M.
Malaysia turut membeli 6 helikopter ringan McDonnell Douglas MD 500 pelbagai guna untuk kegunaan tentera darat.
Pembentangan Najib kelmarin menyaksikan tumpuan beralih kepada peningkatan telekomunikasi, rangsum (ration) dan pakaian seragam dengan peruntukan RM1.3 bilion.
Choong Wah berkata meskipun pengurangan perbelanjaan pembangunan ATM tidak ketara, Kementerian Pertahanan dijangka tidak akan membuat perolehan besar tahun hadapan.
Antara aset yang disebut dalam senarai beli-belah yang diperlukan adalah jet pejuang, pesawat amaran awal dan kapal sokongan.

“Dijangka kekerapan dan kekuatan latihan pasukan simpanan dan wataniah akan dikurangkan demi memberi keutamaan kepada angkatan tetap.
“Untuk Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE) pula, dijangka peruntukan tidak terjejas teruk. Perolehan helikopter ringan dan penyelenggaraan bot akan diteruskan. Tetapi tidak jangka ESSZONE dapat peruntukan yang lebih,” katanya.
Bajet kali ini memberi isyarat mobilisasi kekuatan negara ke Sabah apabila Najib mengumumkan RM323 juta diperuntukkan untuk penugasan anggota di sempadan timur negeri itu.
Mobilisasi termasuk mewujudkan pangkalan operasi hadapan helikopter dan sea basing di perairan timur Sabah, penempatan kenderaan periasi di Lahad Datu, dan penempatan skuadron pesawat pejuang Hawk dan helikopter pengangkut Eurocopter EC-725 di Labuan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA