Rabu, 26 Oktober 2016

Pembangkang lepas lagi peluang 'duga' Najib semalam

Datuk Seri Najib Razak hadir di Dewan Rakyat - untuk kali ketiga pada sesi ini - semalam ketika sesi Soal Jawab Menteri untuk menjawab satu soalan mengenai hutang negara yang dibangkitkan wakil BN.
Wakil pembangkang mempunyai peluang untuk bertanya soalan ringkas kepada perdana menteri.
Mereka, sebagai contoh, boleh bertanya mengenai kebimbangan bekas menteri kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ketika membahaskan belanjawan kelmarin.
Pembangkang juga boleh bertanya mengenai keadaan sebenar ekonomi negara sehingga mendorong kerajaan memotong peruntukan untuk universiti awam.
Sebaliknya Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) bangkit bertanya mengenai bentuk pinjaman luar pesisir kerajaan bernilai RM2.7 bilion.
Menjawabnya Najib berkata kebanyakan pinjaman itu dalam bentuk sukuk.
Najib kemudian beredar meninggalkan Dewan Rakyat.
Ia satu lagi peluang yang tidak dimanfaatkan pembangkang untuk menyoal perdana menteri selepas ruang sama tidak digunakan dengan baik pada Isnin lalu apabila Tan menyoal secara umum keadaan ekonomi negara.
Soalan susulan Tan biasa-biasa saja tetapi membuka ruang kepada pembangkang menyoal Najib secara berdepan mengenai siasatan Jabatan Kehakiman (DOJ) AS ke atas 1MDB, serta Malaysian Official 1 (MO1), serta bagaimana ia memberi kesan kepada ekonomi.
Suasana itu berlangsung sebelum Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat ketetapan menolak sebarang soalan lisan berkaitan saman sivil DOJ sebagi subjudis.
Bagaimanapun Liew Chin Tong (DAP-Kluang) membangkitkan soalan sama ada kerajaan akan mengurangkan kadar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada tiga peratus. Ia sepatutnya boleh dibangkitkan ketika perbahasan belanjawan.
Ditemui di lobi parlimen, Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata pembangkang sepatutnya bertanyakan soalan lebih mencabar kepada Najib.

Bagaimanapun kata wakil DAP itu, tiada perancangan awal untuk anggota parlimen pembangkang bertanya di Dewan Rakyat.
Justeru apa yang dibangkitkan "bergantung kepada kebijaksanaan ahli yang berhormat."
Charles Santiago (DAP-Klang) bersetuju dengan Pua namun berpendapat kualiti jawapan diberi oleh wakil kerajaan juga perlu ditambah baik.
Malah katanya kadang-kadang jawapan itu tidak menjawab kehendak soalan.
Sementara itu Tian Chua (PKR-Batu) berkata format baru di parlimen yang menyediakan sesi Soal Jawab Menteri menyukarkan pembangkang bertanya soalan yang baik kerana masa selama 30 saat diberikan untuk seseorang mengemukakan soalan tambahan.
"Kalau diberikan masa 15 minit untuk sesi soal jawab, pertanyaan yang dikemukakan akan menjadi lebih baik," katanya.
DOJ mendakwa sebanyak AS$731 juta dicuri dari tabung 1MDB dan disalurkan ke beberapa akaun milik seseorang yang dinamakan sebagai MO1.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini menyatakan MO1 itu adalah Najib.
Najib berulang kali menafikan beliau menyalahgunakan wang rakyat untuk kepentingan peribadi, dan peguam negara juga telah membersihkannya daripada sebarang salah laku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA