Isnin, 24 Oktober 2016

Pembangkang keluar Dewan Rakyat kerana tak puas hati terhadap Najib, Speaker tak perlu emosi


KUALA LUMPUR, 24 OKT: Parlimen hari ini kecoh lagi apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan nada penuh emosi mengingatkan ahli-ahli Parlimen pembangkang agar tidak mengheret beliau dalam permainan politik.
Beliau mendakwa tindakan ahli-ahli Parlimen pembangkang keluar dewan sewaktu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak masih membentangkan Belanjawan 2017 kononnya dibuat bertujuan untuk memberi gambaran negatif terhadap beliau.
1st day parliment 2013-_MG_5596 (12)“Saya tertekan, oleh kerana seolah-olah saya menghalau, tetapi Yang Berhomat tahu bahawa perkara itu telah dirancang. Come on man, don’t play game with me, you people play game between you politicians, don’t play game with me!” katanya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng bangun mencelah dan cuba menenangkan keadaan dengan memberikan penjelasan sebenar di sebalik tindakan sebahagian ahli-ahli Parlimen pembangkang berbuat demikian.
“Ketika mereka keluar dewan mereka bukan menunjukkan ketidakpuasan hati ke atas Tan Sri Speaker. Ahli-ahli Parlimen pembangkang melahirkan rasa tidak puas hati ke atas Perdana Menteri, tiada kaitan dengan Speaker,” tegasnya.
“Jadi saya tidak faham mengapa Tan Sri Speaker membangkitkan hal ini,” tambahnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Kekecohan tercetus sekitar jam 6 petang Jumaat lalu apabila Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan mengkritik Ketua Pembangkang dalam pembentangan belanjawannya.
Blok pembangkang kecuali pemimpin PAS kemudiannya membantah ucapan terbabit sambil mengangkat plakad bertulis ‘Siapa MO1’ sebelum keluar meninggalkan Dewan.

Turut serta ialah anggota terbaru blok tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Timbalan Perdana Menteri yang kini duduk di antara Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai dan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP bagaimanapun terpaksa beredar awal sewaktu sesi pembentangan belanjawan sedang dijalankan bagi menyambut keberangkatan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail ke Pulau Pinang untuk merasmikan sambutan 200 tahun Penang Free School.
Ia merupakan kali pertama dalam sejarah bagi pembangkang untuk meninggalkan Dewan Rakyat ketika belanjawan sedang dibentangkan sebagai tanda protes terhadap ucapan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA