Rabu, 26 Oktober 2016

PAS tak pernah kafirkan siapa tak sokong RUU Hadi kata Takiyuddin

Setiausaha agung PAS berkata RUU itu hanyalah sekadar usul dan ahli Parlimen berhak menyokong atau membantahnya.
takiyuddin-pas-hudud
KUALA LUMPUR: PAS hari ini berkata parti itu tidak pernah mengkafirkan sesiapa yang membantah rang undang-undang (RUU) 355 Akta Mahkamah Syariah yang dibentangkan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Dewan Rakyat, Mei lalu.
Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata RUU itu hanya sekadar usul dan ahli Parlimen berhak menyokong atau membantahnya.
“PAS tidak terlibat dalam label melabel. Kalau orang PAS yang melabel, itu kenyataan peribadi dan tidak mewakili PAS.
“PAS memang tidak pernah bersetuju dan tidak akan bersekongkol dengan pihak yang suka melabelkan macam-macam,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Dewan Rakyat.
Takiyuddin berkata demikian sebagai mengulas mengenai pertemuan pimpinan parti itu bersama Pensyarah Jabatan Pengajian Islam Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Muhamad Rozaimi Ramle.
Pertemuan itu turut dihadiri peguam yang juga ahli DAP Pahang Zulhazmi Shariff, bekas mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya dan penceramah PKR Wan Ji Wan Hussein.
Takiyuddin bagaimanapun enggan mendedahkan bila pertemuan itu berlangsung, sebaliknya hanya berkata ia diadakan di ibu kota.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata pertemuan itu dilakukan bagi mendapatkan penjelasan mengenai tuduhan terhadap PAS yang dilakukan netizen di laman sosial.

“Perjumpaan ini tidak tertutup, memang terbuka. Ia dilakukan pengguna Facebook, tetapi saya bukan seorang pengguna laman sosial itu, jadi saya tidak tahu apa berlaku.
“Kita tidak pernah kata, kalau tolak adalah kafir. Ini proses demokrasi, siapa yang nak sokong, sokong. Yang tidak mahu sokong, tidak perlu sokong,” katanya.
RUU 355 antara lain ingin memasukkan seksyen baharu iaitu Seksyen 2A yang menyebut:“Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan undang-undang syariah berkaitan hal kesalahan disenaraikan di bawah seksyen disebutkan di atas selain hukuman mati”.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA