Rabu, 26 Oktober 2016

PAS setuju RUU syariah perkara ijtihad, kata Wan Ji

Ia dicapai dalam mesyuarat membabitkan ahli PKR itu, Adun BN Dr Juanda Jaya, cendekiawan Rozaimi Ramle dan tiga wakil PAS termasuk Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangan Dewan Ulama.
Wan-Ji-Wan-Hussin_muslim_600
PETALING JAYA: PAS digesa mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan orang Islam yang tidak bersetuju dengan rang undang-undang (RUU) pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bukan kafir mahupun rosak akidah.
Pendakwah Wan Ji Wan Hussin berkata gesaan itu dibuat dalam satu mesyuarat pelbagai pihak membincangkan isu RUU 355 di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur semalam.
Wan Ji, yang merupakan ahli PKR, disertai bekas mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya, yang juga Adun Jemoreng (BN) dan pensyarah Jabatan Pengajian Islam Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) Dr Muhamad Rozaimi Ramle.
Manakala PAS diwakili Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan, yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali dan Pengarah Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia Pemuda PAS Wan Rohimi Bin Wan Daud.
Menurut Wan Ji, PAS dalam pertemuan itu bersetuju RUU Akta 355 perkara ijtihad (kajian dan tafsiran mengikut akal fikiran), bukannya syariah.
“Kami jelaskan RUU ini telah mencetuskan gejala takfiri (saling mengkafirkan) dan mereka (PAS) jelaskan berulangkali sesiapa yang menolak RUU tidak rosak akidah.
“Malah Takiyuddin dan Nasrudin konsisten berkata mereka sendiri akan memberikan teguran kepada ahli PAS yang berbuat demikian,” kata Ketua Biro Agama Pemuda PKR ketika dihubungi.
Takiyuddin hari ini berkata partinya tidak pernah mengkafirkan sesiapa yang menolak usul Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Katanya mana-mana ahlinya yang berbuat demikian tidak mewakili parti, dan PAS tidak bersetuju dengan tindakan itu.
Yang Dipertua PAS Padang Serai Shaharuddin Ibrahim sebelum ini berkata Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail “jatuh iman” dan boleh dikuburkan di perkuburan Cina jika menolak RUU itu.
RUU itu dikritik, antaranya oleh Rozaimi sendiri, yang berpendapat usul Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak adil kerana mewujudkan hukuman berbeza antara orang Islam dan orang bukan Islam bagi kesalahan yang sama, serta had hukuman yang terlalu kabur.

Tersebarnya video cendekiawan itu mendorong PAS untuk mengaturkan pertemuan dengan Rozaimi, yang diminta membawa beberapa tokoh agama untuk membincangkan isu RUU 355.
Walaupun Wan Ji mengatakan pertemuan semalam berlangsung dengan baik, namun timbul isu apabila Wan Rohimi hari ini di Facebook mendakwa pihak bukan PAS “terkesima” apabila Khairuddin berkata “umat Islam wajib melaksanakan hudud kerana ia hak Allah”.
Wan Rohimi juga mendakwa Rozaimi hanya mengulangi hujah ketidakadilan dalam kes melibatkan orang Islam dan orang bukan Islam.
Susulan serangan pasca mesyuarat itu, Rozaimi kini sedang menimbang untuk menyiarkan rakaman pertemuan tersebut agar orang ramai dapat mendengar dan menilai perbincangan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA