Rabu, 19 Oktober 2016

PAS sangkal Amanah, ekonomi Terengganu tak berkait RUU Hadi

Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata isu ekonomi rakyat tidak pernah diabaikan, malah ia sering dibangkitkan di DUN.
saiful-bahri_law_pas
PETALING JAYA: Kelembapan ekonomi Terengganu tidak berkaitan langsung dengan kempen Rang Undang-undang (RUU) pindaan Akta Mahkamah Syariah bidang kuasa jenayah (RUU 355), kata Saiful Bahri Mamat.
Pesuruhjaya PAS Terengganu itu berkata tuduhan pemimpin Amanah negeri kononnya PAS terlalu sibuk memperjuangkan RUU itu dan mengabaikan hak rakyat dalam membangunkan ekonomi negeri, amat tidak masuk akal.
“Apakah kaitan kelembapan ekonomi negeri dengan RUU? Tuduhan pemimpin Amanah itu tidak masuk akal.
“Kita tak pernah dengar pun wakil rakyat Amanah bercakap dalam dewan (DUN) mengenai isu pembaziran, pendidikan, pembangunan negeri. Saya lihat wakil rakyat PAS yang banyak berjuang isu rakyat di Terengganu,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Amanah Terengganu menyarankan PAS menumpukan soal ekonomi rakyat, bukannya sibuk berkempen menyokong RUU yang dibentangkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen.
“Sepatutnya masa ini kita berusaha jatuhkan kerajaan pusat untuk pulihkan ekonomi negara, tetapi PAS sibuk kempen sokong RUU,” kata pemimpin Amanah Terengganu, Mohd Zubir Mohamad.

Zubir berkata apabila PAS tidak lagi bersama pembangkang lain dan dilihat berkawan baik dengan pemimpin negara, ia sudah tidak lagi menjadi pembela rakyat.
“Ia semata-mata kerana percaya kepada janji manis Umno untuk menyokong RUU mereka,” kata Zubir.
Saiful pada masa sama mendakwa pemimpin Amanah sebenarnya bersekongkol dengan Umno Terengganu dalam menjatuhkan PAS di negeri itu kerana langsung tidak membantah isu persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Sepanjang pembentangan persempadanan baharu tidak ada satu pun Amanah bantah, maknanya dia setuju dengan Umno, kita PAS yang membantah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA