Jumaat, 28 Oktober 2016

PAS nyatakan komitmen, tolak RUU355 tidak rosak aqidah

pertemuan
KUALA LUMPUR, 27 OKT: Berbeza pandangan dan tidak bersetuju dengan usul pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (RUU355) yang diusulkan Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak merosakkan akidah.
Ini kerana RUU355 tersebut merupakan usul yang memerlukan ijtihad iaitu kajian dan penyelidikan menyeluruh.
Demikian keputusan yang dicapai dalam satu pertemuan tertutup antara ahli akademik Islam, peguam dan pimpinan utama PAS di Hotel Seri Pasifik Kuala Lumpur yang telah diadakan 25 Oktober lalu bagi merungkai gejala takfir atau mengkafirkan sesama umat Islam yang mempersoal dan tidak bersetuju dengan RUU tersebut.
Hadir dalam pertemuan itu ialah Dr Muhamad Rozaimi Ramle, Pensyarah Jabatan Pengajian Islam Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bekas mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya, Ketua Biro Pemantapan Agama Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ustaz Wan Ji Wan Hussin, dan peguam serta aktivis DAP Zulhazmi Shariff.
Pimpinan PAS pula diwakili Ketua Penerangan PAS Pusat Nasruddin Hassan, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali dan Pengarah Jabatan Undang-Undang & Hak Asasi Manusia Pemuda PAS Wan Rohimi Bin Wan Daud.
Zulhazmi dalam perkongsian Facebooknya menulis bahawa pertemuan diadakan bagi menjernihkan suasana berkaitan isu Usul RUU Persendirian Ahli Parlimen Marang untuk meminda Akta 355.
Menurutnya apabila Dr Rozaimi meminta supaya jangan mengkafirkan pihak yg tidak bersetuju dengan usul tersebut dalam satu siri ceramahnya, beliau diserang dengan pelbagai tuduhan.
“Hari ini dalam perbincangan bersama telah dipersetujui bahawa sesiapa yang tidak menyokong usul tersebut tidak kafir kerana ia hanya usul bukannya hukum Allah.

“Kami meminta supaya pimpinan PAS Pusat mengeluarkan suatu kenyataan umum berkaitan isu tersebut,” ujar beliau yang meninggalkan parti Islam tersebut untuk menyertai DAP tahun lalu.
Menurutnya lagi, Setiausaha Agung PAS turut memberi jaminan bahawa jika ada mana-mana pimpinan PAS yang melakukan perbuatan takfir ekoran isu RUU 355, tindakan akan diambil oleh pihak PAS Pusat.
“Bagi pihak PAS, tidak jatuh aqidah sesiapa yg tidak menyokong usul ini,” tambahnya.
RUU355 adalah ijtihad terbuka kepada perbincangan dan bantahan
“Semua pihak tiada masalah berbeza pandangan dengan PAS dalam isu usul RUU355 berdasarkan ijtihad masing-masing dan isu ini tidak boleh membawa kepada kafir mengkafir.
“Setiausaha Agung PAS dan pimpinan PAS Pusat yang lain sangat mengambil berat fenomena tidak sihat kafir mengkafir, maki memaki, labelan buruk dan hinaan kepada asatizah dan pihak yang tidak atau belum bersetuju atau belum sepenuhnya yakin dengan usul RUU 355. Ada komitmen yang sangat baik diberikan oleh Setiausaha Agung dalam hal ini,” kata Dr Rozaimi dalam satu kemaskini Facebook susulan pertemuan terbabit.
Dr Rozaimi sebelum ini telah mencuri perhatian ramai apabila beliau dalam satu kuliahnya berkata RUU yang diusulkan Presiden PAS tersebut adalah tidak adil kerana ia akan mewujudkan hukuman yang berbeza antara orang Islam dan orang bukan Islam atas satu kesalahan yang serupa selain usul RUU355 yang sangat tidak jelas.
Polemik RUU355 pernah mencetuskan kontroversi dan sensasi umum apabila Yang Di-Pertua PAS Padang Serai Shaharuddin Ibrahim dalam kuliahnya yang viral di media sosial meletakkan hukuman ‘jatuh iman’ bagi mereka yang tidak menyokong RUU355.
Dalam kuliah tersebut, Shaharudin cuba mengkafirkan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dengan berkata jika beliau tidak sempat menyokong usul tersebut dan meninggal dunia, beliau akan ditanam di tanah perkuburan bukan Islam.
Perkara tersebut telah mendapat reaksi Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang melahirkan rasa sedih apabila wujud segelintir agamawan di negara ini sewenang-wenang mengkafirkan orang Islam hanya kerana mengambil pendirian yang berbeza.
“Kita tidak wajar memaksa mana-mana ahli Parlimen menerima RUU355 dengan apa jua cara termasuk mengugut kononnya sesiapa tidak menyokong akan menjejaskan akidah,” jelas beliau.
“Memang seorang Muslim wajib menerima hukum yang ditetapkan oleh Allah, yang sakral. Tetapi RUU355 bukan hukum Allah,” tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA