Jumaat, 21 Oktober 2016

Parti Rakyat Sarawak arah ahli Parlimen lawan usul Hadi

Presiden Datuk Seri James Masing beri amaran Persekutuan tidak boleh ada 2 sistem kehakiman.
james-masing_hudud_law_600
KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) mengesahkan ahli Parlimennya tidak akan menyokong rang undang-undang persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Presidennya Datuk Seri James Masing berkata 6 ahli Dewan Rakyat parti itu diarah untuk lawan usul itu.
“Pendirian parti kamu sangat jelas. Kita tidak akan sokong usul ‘hudud’ Presiden PAS dalam sidang Parlimen ini,” kata Masing lapor Borneo Post.
“Hudud bukan sebahagian daripada perjanjian pembentukan Persekutuan,” katanya dan menambah: “Ia tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan.”
Sebaliknya, kata beliau, PRS mahu Sarawak, selaku ahli kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bersama Persekutuan Tanah Melayu dan Sabah, untuk semak perjanjian itu.
“Perjanjian Persekutuan sekadar menyatakan Islam agama Persekutuan.”
Masing, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, memberi amaran Persekutuan tidak boleh ada dua sistem kehakiman.
“Tidak ada negara di dunia ini yang mengamalkan 2 jenis sistem kehakiman,” tegasnya. “Ia tidak akan berjaya dalam masyarakat plural di Malaysia.”
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi awal minggu ini yang tidak dapat mengesahkan sama ada ahli Parlimen Umno akan menyokong usul Hadi itu.
Kata Zahid kepada media, usul Hadi itu disenaraikan di tempat keempat dalam kertas perintah dan terletak pada budi bicara Speaker untuk menentukannya.
Diasak media, Zahid menambah soal menyokong usul itu akan diputuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Masing berkata sokongan Umno kepada usul itu – kononnya untuk mengangkat status Mahkamah Syariah – setakat ini menunjukkan dua sikap yang bertentangan. Bagaimanapun, banyak parti komponen BN selain PRS secara terbuka menolak usul itu.

Hadi membentangkan rang undang-undang persendirian untuk meningkatkan kuasa Mahkamah Syariah pada 19 Mac tahun lepas.
Ia mahu mencadangkan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
Pindaan itu mahu memperkasa mahkamah syariah dengan kuasa untuk menjatuhkan hukuman seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang kesalahan syariah yang disenaraikan dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri mengikut Perlembagaan Persekutuan.
Undang-undang Persekutuan pada ketika ini menghadkan kuasa mahkamah syariah kepada denda RM5,000, 6 kali rotan dan tempoh penjara tidak melebihi 3 tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA