Isnin, 31 Oktober 2016

Parti komponen BN tolak perhimpunan balas Baju Merah

Perhimpunan balas anjuran gerakan Baju Merah hanya akan menjejaskan keamanan dan memecah belahkan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
siva-ti-lian-ker
PETALING JAYA: Parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak bersetuju dengan tindakan Khairy Jamaluddin membenarkan ahli Pemuda Umno menyertai perhimpunan balas gerakan Baju Merah terhadap Bersih 5.
Ketua Pemuda MIC, Sivarraajh Chandran berkata, tindakan membenarkan ahli Pemuda Umno menyertai kumpulan Baju Merah yang diketuai Datuk Jamal Yunos tidak mendatangkan sebarang faedah, sebaliknya hanya menghuru-harakan negara dengan isu perkauman.
“Ahli MIC tidak dibenarkan menyertai Baju Merah, sebab kita tidak tahu apa motif sebenar Baju Merah. Walaupun kita tahu Jamal ketua, tapi dia tidak ada elemen kepelbagaian kaum. Saya minta Pemuda MIC jangan terlibat langsung.
“Ini akan menjejaskan keamanan dan huru-harakan negara dan saya rasa ia dibuat sehingga boleh memecah belahkan agama dan perkauman,” katanya kepada FMT hari ini.
Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker turut menyifatkan tindakan gerakan Baju Merah lebih kepada sentimen perkauman.
“Ia hanya boleh mendatangkan ketegangan sebab setiap kumpulan mempunyai unsur perkauman dan ia dijadikan tempat untuk melepaskan sentimen agama dan perkauman semata-mata.
“Mereka seharusnya mengawal emosi dan bagi saya, apa yang lebih penting ialah kedua-dua kumpulan itu seharusnya memberi tumpuan dengan melakukan aktiviti dan kerja yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara daripada memperagakan kumpulan tertentu untuk kepentingan politik,” katanya.
Semalam, Khairy dilaporkan memberi lampu hijau kepada ahlinya menyertai perhimpunan Baju Merah, tetapi tindakan disiplin akan diambil terhadap mereka yang menyertai perhimpunan Bersih 5, bulan depan.

Bersih 2.0 mengumumkan akan mengadakan perhimpunan Bersih 5 di Dataran Merdeka, pada 19 November ini, bagi mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pembaharuan politik.
Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang berkata, parti itu tidak menyokong sebarang bentuk perhimpunan jalanan, tidak kira anjuran gerakan Baju Merah atau Bersih kerana bimbang mengenai keselamatan orang ramai.
“Kami tidak setuju himpunan Baju Merah atau Bersih 5, kerana ia bertentangan Akta Perhimpunan Aman, malah tindakan kami tidak bersetuju dengan ketua pemuda Umno tidak bermakna kami tidak bersama BN, tetapi kami lebih menghormati undang-undang.
“Kalau himpunan diadakan dalam stadium, kami Gerakan akan sertai,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA