Khamis, 20 Oktober 2016

Parti BN di Sarawak mahu dikembalikan status sebagai negeri pengasas Malaysia

Parti komponen utama BN di Sarawak memohon maaf kerana menyokong pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan pada 1976 yang menyebabkan taraf negeri itu diturunkan daripada status kedaulatan yang dipegang sebelumnya.
Setiausaha Agung Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Sebastian Ting Chew Yew mengakui partinya tidak membantah, malah membantu untuk meluluskan pindaan itu.
Parti BN di Sarawak mahu dikembalikan status sebagai negeri pengasas MalaysiaThe Borneo Post melaporkan pindaan itu secara asasnya menurunkan Sarawak daripada statusnya pada 1963 sebagai negeri pengasas bersama kepada kerajaan berpangkalan di Semenanjung, kepada hanya menjadi salah satu daripada 13 negeri di Malaysia.
“Barisan kepimpinan pada masa ini bertanggungjawab atas perkara itu, dan bagi pihak parti saya memohon maaf kepada ahli parti dan rakyat Sarawak keseluruhannya,” kata Ting dalam satu kenyataan dikeluarkan parti itu semalam.
Pindaan kepada Artikel 1 Perlembagaan Persekutuan pada 1976 menerusi Akta A354 menyebabkan status Sarawak diturunkan dari Wilayah 2 dalam Perlembagaan Persekutuan, kepada salah sebuah daripada 13 negeri di Malaysia.
“Ia ‘percanggahan’ paling asas dan kritikal yang ditemui dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Ini kerana, akibatnya menyebabkan sekatan pengagihan dana persekutuan untuk Sarawak dan Sabah kepada taraf negeri, bukannya 2 daripada 3 negeri pengasas.
“Dalam kata lain, kedua-dua Sarawak dan Sabah tidak diberikan secara adil dalam peruntukan kewangan daripada kerajaan persekutuan,” katanya.
Katanya, beliau dan partinya menyokong desakan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem untuk meminda Artikel 1 Perlembagaan Persekutuan kepada asal, di Parlimen.
Ting juga menyokong gesaan Timbalan Ketua Menteri Dr James Masing kepada semua ahli Parlimen Sarawak dan Sabah untuk mengetepikan kesetiaan terhadap parti dan perbezaan politik demi mengembalikan pindaan itu kepada status asal kedua-dua negeri itu dalam Persekutuan Malaysia.
“Menurut Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tidak ada kekeliruan yang Persekutuan Malaysia ialah persekutuan negara, tidak seperti Persekutuan Malaya iaitu sistem negara kesatuan dengan kuasa pentadbiran berpusat,” katanya.
Beliau merujuk kepada perjanjian itu sebagai kesatuan rakan kongsi saksama yang menggabungkan kekuatan masing-masing dan sumber dengan setiap identiti tersendiri dikekalkan.

Ting berkata kerajaan negeri Sarawak kini mahu menggunakan Suruhanjaya Cobbold, Jawatankuasa Antara Kerajaan, MA63 dan Akta Malaysia 1963, yang tidak boleh diubah atau diatasi mana-mana akta Parlimen, untuk menuntut hak dan kelayakan dimiliki Sarawak dengan menandatangani MA63.
SUPP pada masa ini mempunyai seorang ahli Parlimen iaitu Richard Riot yang juga menteri sumber manusia, dan 7 Adun, dalam kerajaan gabungan BN diketuai PBB.
Kenyataan SUPP itu juga mengkritik pembentangan pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UMP), Profesor Ramlah Adam yang bertajuk “Perjalanan menuju merdeka: Sarawak di Malaysia”, pada minggu lalu.
“Dia nampaknya tidak faham yang Sarawak bukan negeri seperti negeri lain di Semenanjung tetapi pengasas bersama kepada Persekutuan Malaya, yang pada asalnya mengandungi 11 negeri.
“Ramai tidak tahu yang negeri dia (Ramlah) bukan penandatangan dalam Perjanjian Malaysia, maka tidak dijemput ke meja rundingan ketika penubuhan negara pada 1963. Jadi bagaimana status Perlis boleh sama dengan Sarawak,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA