Rabu, 19 Oktober 2016

Pakatan Harapan lancar Belanjawan Alternatif 2017

Wan Azizah dan Mohamad menunjukkkan dokumen Belanjawan Alternatif 2017 di pejabat parti pembangkang di Parlimen hari ini.Wan Azizah dan Mohamad menunjukkkan dokumen Belanjawan Alternatif 2017 di pejabat parti pembangkang di Parlimen hari ini.
Ketua Pembangkang yang juga Presiden KEADILAN, Dr Wan Azizah Wan Ismail telah selamat meluncurkan pembentangan Belanjawan Pakatan Harapan 2017 di Bilik Taklimat, Bangunan Parlimen sebentar tadi.

Turut bersama dalam majlis berkenaan ialah Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dan ahli parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang mewakili DAP.

Antara intipati belanjawan ialah:

a) Mengetatkan perbelanjaan operasi kerajaan tanpa perubahan dari segi emolumen (gaji) kakitangan

b) Memotong perbelanjaan kementerian sasar iaitu Jabatan Perdana Menteri (JPM)

c) Belanjawan berhemat dengan penjimatan sebanyak 20% dari jumlah keseluruhan melalui pembasmian rasuah di semua peringkat

d) Tata kelola fiskal berhemat dan mengoptimumkan sumber domestik bagi mengurangkan hutang luar jangka sederhana dan panjang

e) Penjimatan yang dilakukan disalurkan kembali kepada negeri-negeri miskin seperti Kelantan dan Sabah

f) Menambah peluang pekerjaan menerusi kaedah-kaedah melestarikan sumber alam tanpa menjejaskan hutan dan kekayaan khazanah alam

Berikut merupakan Teks Ucapan Ketua Pembangkang semasa Pelancaran Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan di Bangunan Parlimen hari ini.

Yang dimuliakan Tuan Pengerusi Majlis,
Barisan pimpinan parti KEADILAN, DAP dan AMANAH,

Yang Berhormat Ahli-ahli Parlimen, Tuan-tuan , puan-puan sekelian.

Tema belanjawan alternatif Pakatan Harapan tahun ini adalah penentu masa hadapan. Tema ini dipilih kerana negara kita sedang menghadapi kelembapan ekonomi yang ketara, dan kemungkinan besar kita akan menghadapi krisis ekonomi tahun depan.

Saban tahun kami memberi cadangan yang bernas kepada kerajaan, tetapi saban tahun kerajaan tidak mengendahkannya. Cadangan yang paling penting kami berikan ialah memerangi rasuah, menghentikan penyelewengan ketirisan seperti mana yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negar dalam laporan tahunan beliau, dan mengamalkan kerajaan yang telus dan adil.

Setiap tahun kami syorkan yang sama; malangnya kerajaan tidak ambil peduli.Tetapi ini tidak melunturkan semangat kami kerana kami sayangkan negara dan kami juga rakyat Malaysia yang terkesan dan mahukan perubahan buat kita semua.

Permintaan pertama belanjawan alternatif Pakatan Harapan tahun ini ialah untuk Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan. Saya tekankan sebagai Menteri Kewangan. Memang jarang di dunia dan setahu saya, di mana seorang Perdana Menteri juga memegang portfolio Menteri Kewangan.

Jarang berlaku, seorang Perdana Menteri yang juga berperanan sebagai seorang Menteri Kewangan. Malah Tun Dr Mahathir sendiri pun hanya memegang jawatan Menteri Kewangan selama empat bulan dari 7 September 1998 – 7 Januari 1999. Dalam keadaan ini tiada timbang taranya. Kalau dibandingkan dengan syarikat, mana ada CEO yang jadi CFO juga.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Kita berharap ini merupakan belanjawan terakhir Dato’ Seri Najib Razak sebagai Menteri Kewangan, dan beliau memberikan laluan kepada orang yang lebih arif, lebih cerdik berkaitan dengan kewangan untuk mentadbir negara. Skandal 1MDB jelas menunjukkan kegagalan YAB Perdana Menteri dalam mentadbir urus kewangan dana pelaburan ini apatah lagi dana negara.

Dunia mengetahui siapa itu MO1 dan kedudukan Dato’ Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan terus menghampakan keyakinan pelabur-pelabur domestik dan juga antarabangsa. Identiti MO1 telah disahkan sebagai YAB Pekan dalam wawancara oleh YB Kota Belud bersama BBC pada 1 September 2016 yang lalu. 

Penjelasan YB Kota Belud yang mengukuhkan kedudukan YAB Pekan sebagai MO1 sekaligus merangkap Menteri Kewangan telah turut menurunkan tahap ekonomi negara kita ke paras yang lebih rendah.

EKONOMI

Sekarang, beralih kepada isu ekonomi. Keadaan eknonomi negara kita berada dalam keadaan yang lembap  berikutan faktor consumer sentiment dan juga business sentiment yang kian menurun. Kita lihat sahaja penjualan kereta dan rumah, iaitu dua keperluan penting setiap keluarga. Kita sedar bahawa penjualan kereta dan juga rumah jatuh mendadak, dengan penurunan sebanyak 15 peratus untuk jualan kereta baharu dan 20 peratus untuk jumlah urus niaga hartanah, dan perkara ini berlaku dalam keadaan ekonomi yang sudah lembap pada tahun lepas.

Kalau kita pergi pasaraya dan pasar basah, rata-rata  mak cik pemborong mengeluh kerana harga barangan naik dek kerana GST dan ini menyebabkan kuasa beli berkurangan dan perniagaan mereka malap.

Jadi kepada rakyat biasa, mereka tidak faham atau peduli terhadap isu tentang CPI ataupun inflasi, isu mengenai negative interest rate, ataupun monetary easing. Yang mereka persoalkan adalah tiga perkara asas: Yang pertama, kenapakah harga barang naik? Kedua, kenapa gaji saya tidak naik? Dan ketiga, apakah kerajaan sedang lakukan untuk memperbaiki taraf hidup saya?

Sekarang cuba kita lihat isu berkaitan penganguran. Persoalan-persoalan seperti kenapakah anak muda tidak mendapat pekerjaan walaupun telah lulus daripada universiti? Kenapakah generasi muda tidak dapat membeli rumah? Kenapa rumah yang dikatakan mampu milik tidak menjadi mampu milik tapi hanya sekadar mampu dilihat sahaja?

Melalui belanjawan alternatif Pakatan Harapan ini, kami cuba memberi jawapan kepada persoalan-persoalan yang rakyat timbulkan. Berdasarkan analisa makroekonomi melalui dokumen ini, ianya jelas kami cuba memahami dan mendalami bagi menyelesaikan isu-isu besar negara.

Pada masa yang sama, ia juga merupakan satu nasihat kepada kerajaan tentang isu fiskal: bagaimana jika YAB Perdana Menteri memotong 10 bilion Ringgit daripada belanjawan Jabatan Perdana Menteri, ini sekaligus boleh mengurangkan defisit kerajaan kepada satu tahap yang lebih selesa.

Pada tahun ini, kami memberikan 11 cadangan dasar yang rela diciplak oleh kerajaan Pusat dan segera diguna pakai. Asas kepada cadangan ini adalah berdasarkan falsafah Maqasid-As-Syariah yang mementingkan rakyat, dan juga berdasarkan data yang sedia ada. Oleh itu saya mempelawa semua hadirin, pihak media, dan juga menteri-menteri dari sebelah sana, untuk meneliti Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan kami.

Tiada masalah jika kerajaan mahu menggunakannya, kami sedia membantu tapi minta diberikan kredit juga kepada pihak kami. Kalau hadis pun ada perawinya, berikanlah sedikit penghargaan kepada kami.

Jadi pada  ahli-ahli Yang Berhormat yang telah diamanahkan untuk menerima cadangan dan menyediakan belanjawan ini, saya mengucapkan terima kasih kepada orang-orang yang telah bertungkus-lumus bekerja bagi menyediakan bajet ini: Antaranya ialah YB Wong Chen, YB Dr. Ong Kian Ming, dan Saudara Dr. Dzulkefly, di bawah kepimpinan Dato’ Saifuddin Abdullah sebagai coordinator dan juga penasihat, juga kepada semua staf pejabat YB Wong Chen dan penolong YB Ong Kian Ming yang telah membuat draf, infografik, layout, proofreading.

Selesai sahaja ucapan saya dan juga pelancaran ini, YB Wong Chen bersama YB Ong Kian Ming dan YB Dzulkefly akan mengadakan satu sesi soal jawab, jadi silalah tanya tentang perincian berkaitan belanjawan ini.

Dengan itu saya mengakhiri ucapan saya, dengan menjemput Yang Berbahagia Mat Sabu dan [Kit Siang / Tan Kok Wai / Guan Eng] untuk datang ke hadapan untuk bersama me lancaran dokumen.

Dengan ini, dengan lafaz bismillahirrahmaniirahim saya melancarkan Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan 2017.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA