Rabu, 26 Oktober 2016

Orang Asli Canada saman Petronas

Saman itu akan difailkan di Mahkamah Persekutuan di Vancouver kerana projek LNG itu didakwa bakal menjadi satu daripada penyumbang terbesar terhadap pencemaran iklim di Canada, sekalipun ia memenuhi syarat ditetapkan kerajaan.
natural gas plant petronas
KUALA LUMPUR: Kumpulan pencinta alam sekitar dan Orang Asli akan memfailkan saman terhadap kerajaan Canada kerana meluluskan permit untuk projek kontroversi gas asli cecair (LNG) di British Columbia yang diketuai Petronas.
Wakil kumpulan Orang Asli dan pencinta alam sekitar memberitahu Reuters, saman itu akan menamakan syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas yang memiliki majoriti kepentingan dalam projek itu.
Bulan lalu, Canada meluluskan projek Pacific NorthWest LNG di utara British Columbia dengan 190 syarat, sekalipun ada pihak membantah projek bernilai AS$27 bilion itu akan memusnahkan habitat salmon yang kini kritikal dan menghasilkan gas rumah hijau.
Keputusan itu adalah ujian besar buat Parti Liberal di Canada bagi mengimbangi keperluan pekerja industri tenaga berdepan masalah kehilangan kerja dan kebimbangan pencinta alam yang mendapat tumpuan Perdana Menteri, Justin Trudeau menerusi kempen pilihan rayanya, tahun lalu.
Saman itu akan difailkan di Mahkamah Persekutuan di Vancouver dan projek itu akan berdepan risiko selepas melalui penangguhan selama 3 tahun untuk mendapatkan permit alam sekitar dan harga LNG Asia merosot kira-kira dua pertiga, sejak 2014.
Kerajaan Canada dan Petronas belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung saman itu.
“Kami percaya ada kelemahan serius dalam proses penilaian alam sekitar,” kata Greg Knox, Pengarah Eksekutif SkeenaWild, kumpulan alam sekitar yang memfailkan satu daripada saman itu.
Selain kelemahan dalam kajian alam sekitar, SkeenaWild turut mendakwa Canada gagal mengkaji kesan iklim projek itu.
Knox mendakwa projek itu bakal menjadi satu daripada penyumbang terbesar terhadap pencemaran iklim di Canada, sekalipun ia memenuhi syarat ditetapkan kerajaan.
Masyarakat Orang Asli Gitanyow dan Gitwilgoots yang mempunyai kebimbangan sama, akan menyaman Canada kerana gagal memaklumkan kumpulan itu sebelum meluluskan projek berkenaan.
“Mereka langsung tidak menghiraukan apa sahaja yang kita serahkan kepada mereka” berhubung kemusnahan salmon dan perubahan iklim, kata ketua Gitanyow, Glen Williams kepada Reuters.

Kedua-dua kumpulan terbabit yakin mahkamah akan memihak kepada mereka, khasnya selepas kelulusan saluran paip minyak Northern Gateway yang dibatalkan Jun lalu, di mana Mahkamah Rayuan Persekutuan mendapati kerajaan gagal menjalankan tanggungjawabnya untuk berbincang dengan kumpulan Orang Asli.
Projek Northern Gateway diluluskan kerajaan Conservative Canada terdahulu, pada 2014, tetapi selepas itu, saman difailkan bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk membatalkan kelulusan berkenaan.
Williams berkata, mereka bergantung kepada kes Northern Gateway untuk memenangi saman itu.
Projek yang diketuai Petronas itu bercadang mencairkan gas asli di kemudahan di daerah Pelabuhan Edward, British Columbia, kira-kira 1,600km barat laut Vancouver, di mana kira-kira 12 juta tan metrik LNG akan dieksport ke Asia, setahun.
Firma-firma di China, India, Jepun dan Brunei adalah pihak berkepentingan minoriti dalam projek itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA