Jumaat, 21 Oktober 2016

Nurul Izzah saran dua perkara kepada KPKT

SHAH ALAM – Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu memansuhkan pengeluaran lesen bagi Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berpendapat, cadangan itu mampu mengawal selia saluran pinjaman kewangan yang sepatutnya berpaksikan Bank Negara.
“Akta ini sewajibnya dimansuhkan oleh kerajaan yang setakat ini tampaknya tidak mengendahkan pelbagai garis panduan dan akta di bawah seliaan Bank Negara Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Nurul Izzah lagi, kementerian juga perlu menetapkan kadar faedah dalam pinjaman Skim Pinjaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) DBKL melibatkan Skim Sewa Beli kepada penyewa untuk mendapatkan unit rumah.
“Kadar faedah terlampau tinggi dan ketidaksesuaian pemaju untuk memberi perkhidmatan pinjaman wang kepada orang awam.
“Kuasa pemberian lesen pinjaman oleh KPKT boleh membawa kepada konflik kepentingan kepada menteri, termasuklah dalam hubungan dengan pemaju untuk memperoleh keuntungan sedangkan keutamaan kedua-duanya adalah untuk menolong orang awam yang berpendapatan rendah,” ujarnya.
Pada 8 September lalu, Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar mengumumkan pemaju boleh diberikan status yang serata dengan peminjam wang.
Malah, para pemaju berhak mengenakan kadar setinggi 12 hingga 18 peratus pada orang awam untuk pinjaman perumahan.

“Meskipun kadar faedah ini menghampiri dua kali ganda kadar yang ditawarkan oleh Skim Pembiayaan Khas penjualan PPR yang lepas, Tan Sri Omar tergamak menggambarkan kadar faedah sebegini tinggi sebagai “situasi menang-menang”.
“Apa jaminan pembeli mampu melunaskan bayaran, sedangkan pada kadar bank 4 peratus hingga 8 peratus juga sudah ramai yang terkandas?
“Isu pemberian pinjaman oleh pemaju ini bukan hanya ditentang oleh pihak pembangkang, tetapi ditentang juga oleh Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani. Beliau melihat modul yang dicadangkan oleh KPKT akan mewujudkan perniagaan yang kurang mampan antara pemaju dan pembeli,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA