Jumaat, 28 Oktober 2016

Najib tuduh Dr Mahathir hasut rakyat, pecah belah Melayu

Najib menuduh Dr Mahathir menggunakan alasan perjuangan Umno sudah berbeza sebagai alasan menarik orang masuk ke dalam partinya.
najib-mahathir-m
KUALA LUMPUR: Perdana menteri hari ini membidas tindakan seorang pemimpin senior yang semakin lantang menentang kepimpinannya sehingga berani menghasut rakyat.
Walaupun tidak berkata secara jelas, dipercayai ia merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Datuk Seri Najib Razak menerusi blognya berkata, semua tuduhan yang diterimanya hari ini sama dengan tuduhan yang dilemparkan terhadap Dr Mahathir semasa beliau menjadi perdana menteri.
“Sejak akhir-akhir ini, ada seorang pemimpin lama mula menghasut rakyat, mengatur langkah dari dalam dan luar negara untuk menuduh saya dengan perkara-perkara yang sama beliau dituduh semasa beliau berkuasa,” kata beliau.
“Beliau menuduh perjuangan parti saya sudah lari daripada perjuangan beliau dahulu sebagai alasan untuk menarik orang masuk ke dalam parti beliau dan memecahbelahkan orang Melayu,” katanya.
Mengakui perjuangannya dengan Dr Mahathir berbeza, Najib juga sentiasa berusaha memajukan agama, bangsa dan negara sepanjang 40 tahun perkhidmatannya.
Beliau mempersoalkan apakah usaha kerajaan di bawah pimpinannya seperti membina infrastruktur yang bertujuan meningkat ekonomi dan taraf hidup rakyat tidak dianggap sebagai satu perjuangan.
“Apakah usaha kami membina infrastruktur seperti MRT, BRT, LRT, Lebuhraya Pan Borneo, Rapid Pengerang, kota Iskandar untuk meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat, bukan satu perjuangan?
“Apakah penyediaan bantuan kerajaan seperti Teraju, Tekun, bantuan-bantuan 1Malaysia, PR1MA, e-Kasih, UTC, RTC untuk kemudahan rakyat bukan satu perjuangan?”

Presiden Umno itu turut menyelar kewujudan parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diasaskan Dr Mahathir, yang katanya bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan, sehingga sanggup bersekongkol dengan parti cauvinis yang pemimpinnya sudah didakwa melakukan rasuah.
Awal pagi ini, Dr Mahathir mengatakan semua pemimpin Barisan Nasional (BN) hipokrit kerana terus menyokong Najib walaupun menyedari kesalahannya.
Dalam catatan terbaharu blognya itu, Dr Mahathir berkata pemimpin BN yang menguar-uarkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memutuskan Najib tidak bersalah berhubung hutang 1Malaysia Development Berhad, cuba memperbodohkan diri sendiri dan orang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA