Jumaat, 21 Oktober 2016

Najib tepis dakwaan negara gagal, bankrap

Najib berkata, kerajaan akan diisytiharkan bankrap hanya jika ia tidak dapat membayar hutangnya.
Budget 2017 najibPETALING JAYA: Perdana Menteri hari ini menjawab dakwaan pengkritiknya dan kerajaan Barisan Nasional kononnya Malaysia akan muflis dan berisiko menjadi negara gagal.
Ketika membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat hari ini, Datuk Seri Najib Razak mengambil masa untuk menjawab “salah faham dan salah tanggapan yang kerajaan akan bankrap”.
“Dalam hal ini, saya ingin menjelaskan kerajaan akan diisytiharkan bankrap hanya jika ia tidak dapat membayar hutangnya.
“Terdapat 3 agensi penarafan antarabangsa terkemuka, iaitu Fitch, Moody’s dan Standard & Poor’s.
“Penarafan dan laporan agensi-agensi penarafan ini diterima untuk penilaian keupayaan membayar hutang sesebuah negara,” kata Najib.
Menteri kewangan itu kemudiannya membandingkan penarafan Malaysia dengan negara jiran lain di Asean dan ekonomi lebih besar di Asia Timur.
“Fitch memberi taraf A- kepada Malaysia, sementara Filipina dinilai BBB-, Thailand BBB+ dan Vietnam BB-.
“Malah, penarafan kita sama dengan ekonomi maju atau lebih besar seperti Republik Korea(AA-), China (A+), Taiwan (A+), Jepun (A),” katanya yang mengejek pengkritiknya dengan mengisytiharkan “kebankrapan tidak pernah wujud dalam kamus ekonomi Malaysia”.

Mengenai dakwaan Malaysia menuju ke arah negara gagal, Najib bertindak memberi definisi tepat mengenai istilah itu.
“Biar saya jelaskan makna negara gagal. Ia merujuk sebuah negara gagal menunaikan kebanyakan tanggungjawabnya dan fungsi asas sebuah kerajaan.”
Beliau berkata, sebuah negara gagal termasuk negara dalam keadaan anarki tanpa sebarang undang-undang, kerajaan gagal membayar gaji penjawat awam dan kekurangan kemudahan seperti bekalan air dan elektrik.
“Ciri-ciri ini tidak wujud di Malaysia dan dengan rahmat Allah, kerajaan ini tidak akan membenarkan negara kita menjadi negara gagal,” katanya yang jelas menyindir Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang selama ini mendakwa Malaysia menuju ke arah negara gagal di bawah kepimpinan Najib.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA