Sabtu, 22 Oktober 2016

Muhyiddin tekankan sikap amanah, Rahman 'serang' kait Red Bean Army

Tan Sri Muhyiddin Yasin hari ini mempersoalkan keengganan Datuk Seri Mohd Najib Razak menjelaskan isu berkaitan kepentingan rakyat dan negara termasuk isu Malaysian Official 1
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pembentangan Bajet 2017 adalah ruang untuk Perdana Menteri berbuat demikian.
"Patutnya mesti ada sikap amanah, bertanggungjwab lebih-lebih lagi isu pokok yang rakyat mahu tahu sepatutnya perlu diberi penjelasan.
"Ini kesempatan yang baik tapi langsung tidak disentuh," ujarnya kepada pemberita di perkarangan Dewan Rakyat selepas keluar bersama kumpulan Ahli Parlimen pembangkang.
Walau bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam reaksinya yang disiar melalui Astro Awani meminta Muhyiddin mengemukakan kepada pihak kerajaan tentang dasar ekonomi pihak pembangkang.
"Sampai sekarang ini belum ada lagi satu dasar ekonomi diketengahkan. Mana dasar ekonomi? Mana dasar sosial? Mana dasar pendidikan?
"Mana dasar keselamatan negara? Mana dasar hubungan antarabangsa?
"Mana polisi kamu? Jika ada mari beritahu kami," soal anggota Majlis Tertinggi Umno itu bertubi-tubi.
Rahman mendakwa polisi sedia ada di pihak kerajaan adalah dasar-dasar BN yang bertanggungjwab.
Mengulas dakwaan sandiwara yang dilontarkan kepada pihak kerajaan, beliau menjawab, sandiwara itu sepatutnya ditujukan kepada Muhyiddin sendiri.
"Saya telah bersama beliau beberapa tahun dalam kerajaan. Cara kita menggubal bajet dan sebagainya adalah berdasarkan fakta," jelasnya.

Lebih mengejutkan, Rahman yang juga Setiausaha BN Sabah itu mengaitkan Muhyiddin dengan “Red Bean Army” iaitu tentera cybertrooper yang kononnya dibiayai DAP seperti dimainkan media mesra Umno beberapa tahun lalu.
"...merendahkan diri beliau (Muhyiddin) seperti Red Bean Army, saya amat sedih...," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Belud itu.
Dalam hal berkaitan, dua hari lalu Pakatan Harapan telah membentangkan 'Belanjawan Alternatif Pakatan Harapan' dengan 11 cadangan dasar yang menjurus kepada soal tadbir urus kewangan negara termasuk langkah-langkah penjimatan.
Antara cadangan Pakatan Harapan dalam belanjawan tersebut adalah mengurangkan peruntukan Jabatan Perdana Menteri sebanyak RM10 bilion serta mencadangkan kenaikan gaji minimum pekerja sebanyak RM1,500.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA