Sabtu, 22 Oktober 2016

Menangani ketaksuban perkauman dan agama dengan Sosial Demokrasi

hamidi
“Ideologi dari segi politik secara umumnya seperti kompas atau GPS, sebagai penanda arah. Bagi DAP, kami tidaklah menyembah ideologi. Ia adalah jalan menuju matlamat,” kata Wan Hamidi dalam sesi dialog.
Perlembagaan Persekutuan tidak sama sekali menghalang DAP untuk terus memperjuangkan demokrasi sosial yang berteraskan kebebasan, keadilan dan solidariti dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Malah, DAP dalam Deklarasi Shah Alam 2012 juga telah mengulangi pendirian dan komitmennya untuk mendaulatkan sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.
Bagaimanapun, DAP sering mendapat tohmahan puak pelampau perkauman dan agama dengan tuduhan melulu kononnya DAP berpegang kepada ideologi komunisme.
Mengulas perkara tersebut Pengarah Eksekutif Jabatan Pendidikan Politik DAP Kebangsaan Wan Hamidi Hamid berkata, ideologi Sosial Demokrasi sangat jauh berbeza dengan komunisme.
“Tanpa membohongi siapa-siapa, lahirnya Sosial Demokrasi itu ialah asalnya daripada ideologi progresif Marxisme.
“Marxisme itu berkembang kepada pelbagai ideologi sosialisme yang ada,” kata beliau dalam sesi dialog dan pelancaran buku Asas Sosial Demokrasi di Perpustakaan REFSA dekat sini baru-baru ini.
Menurutnya DAP memilih ideologi Sosial Demokrasi kerana ia merupakan ideologi paling moderat dalam sosialisme.
“Dalam erti kata lain kita terima pasaran tetapi kita takkan benarkan pasaran ‘membeli’ kita, (we do not let the market dictate us) kerana kita tidak mahu rakyat, pekerja dan pengguna ditekan oleh pasaran.
“Kalau ikut sejarah DAP, asalnya tahun 1966, 50 tahun dulu, ideologi kita demokratik sosialisme. Iaitu sosialisme yang demokratik. Iaitu sosialisme yang menolak komunisme, menolak diktator, dan menganggap demokrasi itu penting. Itu dia, kemudian pada 2006-2007 kita pinda perlembagaan parti untuk luaskan lagi tanpa meninggalkan prinsip itu,” jelasnya yang juga pengetua Sekolah Demokrasi.
Wan Hamidi berkata ideologi itu amat penting kerana ia merupakan penanda arah kepada sesebuah organisasi mahupun parti politik untuk mencapai objektif perjuangannya.
“Ideologi dari segi politik secara umumnya seperti kompas atau GPS, sebagai penanda arah. Bagi DAP, kami tidaklah menyembah ideologi. Ia adalah jalan menuju matlamat.
“Ideologi Sosial Demokrasi, secara umum terbina di atas nilai asas freedom, justice and solidarity. Di dalamnya terkandung tentang keadilan, persamaan hak, peluang yang setara, dan sebagainya. Itu idaman kita untuk Malaysia,” jelas beliau.
Relevankah ideologi pada saat ini?
Menjawab persoalan itu, Wan Hamidi menegaskan ideologi amat penting sebagai penanda arah yang baik dalam usaha mewujudkan sebuah negara yang lebih baik.
“Relevankah ideologi? Zaman Dr Mahathir, beliau kata ideologi tidak penting, yang penting ialah pragmatis; ada logiknya, tapi bila diterjemah (kepada tindakan) ia menjadi ‘aku buat apa yang aku suka’. Hasilnya adalah seperti sekarang, walaupun saya tau kadang-kadang kita kena berkawan dengan musuh lama. That’s realpolitik,” ujarnya.
Beliau menegaskan, pegangan kepada ideologi akan meluaskan ruang bicara dan wacana dalam masyarakat dari sekadar sudut kaum dan agama yang seolah-olah tidak ada jalan keluarnya pada hari ini.
”Seperti yang dibangkitkan tadi apabila tidak ada perbahasan atau dialog tentang ideologi, hampir 50 tahun atau lebih, politik di Malaysia difokuskan kepada kaum dan agama dan saya tau ramai di antara kita marah dengan fokus yang terlalu perkauman, nak kata terlalu keagamaan bukan yang itu, tetapi lebih kepada ketaksuban,” jelas Wan Hamidi.

Menurutnya, melabelkan wacana tentang ideologi itu sebagai kiri atau komunis dan perlu disekat adalah tidak tepat.
“Tetapi apabila ideologi itu dikatakan (semuanya) kiri, dan harus dilawan, akhirnya yang tinggal adalah ‘kaum dan agama’. Dan kita tersepit dalam keadaan itu.
“Apatah lagi dalam masyarakat yang kaum dan agama tertentu adalah majoriti. Jadi, kaum yang minoriti tidak dipedulikan lagi. Seolah-olah demokrasi diambil tentang suara majoriti tanpa ambil kira nilai-nilai, ciri dalam demokrasi itu sendiri seperti hak minoriti yang perlu dibantu dan sebagainya,” jelas beliau.
Wan Hamidi turut mempersoalkan adakah isu kemiskinan rakyat, pendapatan keluarga dan sebagainya yang boleh dilihat daripada sudut kelas, diantara kelas pekerja dengan kelas yang lain itu sekadar soal di universiti sahaja?
libry-refsa“Seperkara lagi, apabila dikatakan bahawa ideologi itu segala-galanya yang ‘kiri’, jadi dalam realiti kita (hanya) perlu tolong kaum India, Melayu, Cina, Iban, Kadazan, Orang Asli, (menilai dari sudut perkauman semata-mata). Itu menyebabkan wacana kita sempit,” jelas beliau.
Sesi dialog ideologi yang dianjurkan REFSA itu merupakan salah satu dari acara tiga hari badan pemikir berkenaan.
Selain pelancaran buku Sosial Demokrasi, dialog, aktiviti ziarah Pasar Pudu dan dialog ekonomi, acara kemuncaknya ialah pelancaran Perpustakaan REFSA yang mendapat julukan “Perpustakaan Dalam Pasar” yang menempatkan pelbagai rujukan mengenai Sosial Demokrasi, pengurusan ekonomi, sejarah, kebudayaan dan sebagainya.
Perpustakaan ini boleh dikunjungi orang awam dikunjungi di Tingkat 5, Wisma Wenworth dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang dari Isnin sehingga Jumaat, manakala pada hari Sabtu, ia dibuka bermula jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PIHAK KAMI TIDAK BERTANGGUNGJAWAP DENGAN KOMEN YANG MENYALAHI UNDANG-UNDANG MALAYSIA